Jepak Holdings tidak perlu bayar levi RM1.65 juta kepada CIDB

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jepak Holdings Sdn Bhd tidak perlu membayar lebih RM1.65 juta levi yang tertunggak kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melibatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa yang membenarkan permohonan syarikat solar itu untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar diperoleh CIDB supaya syarikat itu membayar levi berkenaan.

Projek solar hibrid itu dikaitkan dengan kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Afifah Afif yang mewakili syarikat solar itu memberitahu, peguam Nor Ahyani Ahmad yang mewakili CIDB, tidak membantah permohonan Jepak Holdings untuk mengetepikan penghakiman ingkar tersebut ketika perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes melalui e-Review di hadapan Timbalan Pendaftar, Maslinda Selamat pada Selasa.

"Walaupun penghakiman ingkar diketepikan, writ saman tetap ada. Namun, peguam CIDB memberitahu mahkamah bahawa ada kemungkinan writ saman itu akan ditarik balik," katanya sambil menambah bahawa mahkamah telah menetapkan 22 Mac untuk pengurusan kes bagi CIDB memaklumkan perkembangan perkara itu.

Syarikat solar itu memfailkan permohonan itu pada 11 Februari lalu antara lain memohon perintah mahkamah bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar bertarikh 13 Januari lalu bagi jumlah RM1,656,250 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dan kos berjumlah RM1,500.

Afidavit sokongan Datuk Mohd Afrizan Husain, yang dilantik sebagai pengurus kehakiman Jepak Holdings, yang difailkan bersama permohonan itu, memaklumkan pada 16 Januari lalu syarikat telah mengemukakan permohonan untuk meletakkannya di bawah pengurus kehakiman untuk melindungi daripada tuntutan berterusan yang banyak dikemukakan pemiutang.

Mohd Afrizan mendakwa Jepak Holdings juga tidak menerima writ saman dan penyataan tuntutan difailkan CIDB sebaliknya menyedari terdapat tindakan undang-undang terhadap syarikat itu menerusi sebuah portal bertarikh 15 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Jepak Holdings juga, dakwanya, tidak berniat dengan sengaja atau cuai untuk tidak memasukkan kehadiran kerana jika mereka menerima writ saman dan penyataan tuntutan itu secara serahan, sudah pasti syarikat itu akan memasukkan pembelaan.

Pada 13 Januari, Mahkamah Tinggi memberi CIDB kebenaran untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Jepak Holdings selepas syarikat itu gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan CIDB selaku plaintif.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 2 Disember tahun lalu, CIDB berkata berdasarkan peruntukan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) 1994, plaintif berhak untuk mengenakan levi ke atas mana-mana kontraktor berdaftar sebelum bermula kerja pembinaan yang mempunyai jumlah kontrak RM500,000 dan ke atas iaitu untuk jumlah suku peratus daripada jumlah harga kontrak tersebut.

Menurut CIDB, pada 10 November 2016, Jepak Holdings dilantik untuk menjalankan kerja-kerja kontrak dikenali sebagai "Cadangan Pelaksanaan Menerusi Rundingan Terus Bagi Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak” bernilai RM1.25 bilion.

Menurut CIDB, notis tuntutan bertarikh 16 Ogos 2019 telah dikeluarkan terhadap defendan bagi menuntut pembayaran jumlah levi yang masih tertunggak dan masih gagal dijelaskan.

Oleh itu, CIDB menuntut syarikat itu membayar pembayaran levi yang masih tertunggak itu berjumlah RM1,656,250 setakat 16 Ogos 2019 dengan faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama