Sindiket sasar remaja bawah umur jadi keldai dadah

Sebahagian dadah yang berjaya dirampas susulan penahanan dua calon SPM baru-baru ini. - Foto ihsan FB IPD Kemaman, gambar kecil: Hanyan Ramlan
Sebahagian dadah yang berjaya dirampas susulan penahanan dua calon SPM baru-baru ini. - Foto ihsan FB IPD Kemaman, gambar kecil: Hanyan Ramlan
A
A
A

KEMAMAN - Sindiket penyeludupan dadah di daerah ini dikesan menggunakan modus operandi baharu dengan menjadikan remaja bawah umur sebagai keldai dadah dengan tawaran upah RM40 bagi setiap penghantaran.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, taktik sindiket itu yang mengubah strategi berjaya dibongkar susulan penahanan dua remaja lelaki calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dua lokasi berasingan di sekitar Kijal dan Cheneh pada 1 Mac dan 4 Mac lalu.

Kata Hanyan, pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang turut mengubah strategi berjaya 'menghidu' sekurang-kurangnya tiga lagi kumpulan sindiket dadah baharu yang aktif di daerah ini.

Antara jenis dadah yang berjaya dirampas. - Foto ihsan FB IPD Kemaman
Antara jenis dadah yang berjaya dirampas. - Foto ihsan FB IPD Kemaman

"Bermula 2019 sehingga hari ini, seramai 332 tokan dadah berjaya ditangkap dan disebabkan jumlah tokan dadah yang ramai ditahan serta ada yang sudah dikenakan tindakan di bawah pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, jadi sindiket di sini kehabisan pekerja yang 'berani'.

"Disebabkan itulah mereka terpaksa menukar taktik dengan memilih golongan remaja di bawah umur sebagai keldai dadah dengan mengumpan bayaran RM40 setiap kali penghantaran kerana mereka tahu bagi golongan remaja jumlah ini sangat besar, cukup sekadar lepas beli top up telefon masing-masing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Jelas beliau, dalam tempoh tiga tahun bermula 2019 sehingga hari ini, Kemaman merekodkan 40 kes tangkapan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan daripada jumlah kes itu, seramai 110 orang ditangkap.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pihak kami berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM200,000.

Artikel Berkaitan:

"Jenis dadah paling tinggi direkodkan termasuk heroin serta methamphetamine," kata Hanyan.