Salur bantuan ribut RM500

Amirudin ditemui pada sidang media selepas mengadakan lawatan di beberapa kediaman penduduk di sekitar Tanjong Karang, di sini.
Amirudin ditemui pada sidang media selepas mengadakan lawatan di beberapa kediaman penduduk di sekitar Tanjong Karang, di sini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada penduduk membabitkan 165 rumah kediaman yang terlibat dalam tragedi ribut, sekitar Tanjong Karang, Ahad lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, setakat ini, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Permatang membantu menguruskan mereka termasuk menyusun senarai nama dan kerosakan dialami.

Malah katanya agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Majlis Daerah Kuala Selangor telah membantu memberikan bantuan awal.

"Kita menyalurkan peruntukan bantuan sebanyak RM500 dan akan selesaikan dalam tempoh seminggu ini," katanya ketika melakukan ziarah rumah penduduk terlibat di Kampung Seri Tiram Jaya, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) juga bersedia menggantikan bumbung dan membaik pulih rumah penduduk terjejas.

"Kebanyakannya kesan daripada ribut itu ialah kehilangan bumbung sekitar 20, 30 peratus dan ada kehilangan hampir keseluruhan bumbung rumah.

"Namun, ada juga sebahagian rumah hampir runtuh keseluruhannya dan tidak boleh diduduki kerana beberapa asas bangunan tersebut dibawa angin," katanya.

Menurutnya, terdapat tiga kategori bantuan iaitu berdasarkan kerosakan kecil, sederhana dan kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Kerosakan kecil ini akan diberi melalui bantuan RM500, manakala kerosakan sederhana pula di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan MBI untuk menguruskannya.

"Bagi kerosakan krtikal pula, kita cuba meminta bantuan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahu pun Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.

Menurutnya, kejadian ribut yang berlaku di daerah itu merupakan antara yang terburuk dalam sejarah negeri sejak 19 tahun lalu.