Jual rokok seludup guna pintu belakang

Seorang lelaki ditahan kerana menjual rokok seludup dalam serbuan di sebuah premis di Durian Tunggal pada Isnin.
Seorang lelaki ditahan kerana menjual rokok seludup dalam serbuan di sebuah premis di Durian Tunggal pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Tindakan seorang lelaki yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjual rokok seludup menggunakan pintu belakang tidak berpanjangan, selepas polis merampas sebanyak 15,360 batang rokok dalam serbuan di Durian Tunggal, di sini pada Isnin.

Dalam serbuan jam 1 petang, suspek berusia 24 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah premis rumah kedai dan dipercayai baru selesai urusan jual beli rokok seludup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pemeriksaan di lokasi menemui sebanyak 128 karton rokok pelbagai jenis dipercayai tanpa cukai dengan nilai lebih RM20,000.

Menurutnya, suspek beroperasi hanya menggunakan pintu belakang dan ketika serbuan dilakukan mendapati bahagian hadapan premis ditutup dan seperti tidak beroperasi.

"Bagaimanapun pemeriksaan di bahagian belakang terdapat sebuah pintu dipercayai dibuka bagi kegiatan menjual rokok seludup.

"Serbuan ini berjaya dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, pihaknya percaya suspek telah menjadikan premis itu sebagai stor bekalan rokok seludup untuk pasaran peruncit-peruncit di sekitar Durian Tunggal sejak enam bulan lalu.

"Semakan lanjut terhadap suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan: