Polis tumpas cubaan seludup daun ketum guna feri di Langkawi

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum seberat 210 kilogram (kg) bernilai RM2,100 dalam satu serbuan di Jeti Kuah, Langkawi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam serbuan dilakukan pada 2 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi turut menahan seorang lelaki berumur 19 tahun.

“Hasil soal siasat terhadap suspek yang bekerja sebagai anak kapal di dalam feri penumpang itu, polis berjaya menjumpai enam guni putih yang disyaki berisi daun ketum di bahagian tempat penyimpanan barang dan bagasi penumpang.

“Modus operandi untuk menjalankan kegiatan penyeludupan daun ketum ini adalah dengan menyembunyikan daun ketum di dalam feri bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum ia dibawa masuk dari Kuala Kedah ke Langkawi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shariman berkata, hasil saringan mendapati suspek yang berasal dari Kodiang, Kedah itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan reman selama empat hari hingga 12 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis Langkawi juga berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah dan ketum yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: