Pembangkang gesa KPM teruskan pelaksanaan PSP

Kementerian Pendidikan diminta meneruskan Program Sarapan Percuma (PSP) kepada semua 4.79 juta murid di seluruh negara
Kementerian Pendidikan diminta meneruskan Program Sarapan Percuma (PSP) kepada semua 4.79 juta murid di seluruh negara
A
A
A

SHAH ALAM - Parti-parti blok pembangkang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneruskan pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) kepada semua 4.79 juta murid di seluruh negara.

Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Baharom.

Turut bersama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), DSP Wilfred Madius Tangau.

Menerusi kenyataan bersama itu, saranan berkenaan wajar dilakukan berikutan kesan pandemik Covid-19 terhadap perkembangan nutrisi anak-anak dan sosio-ekonomi keluarga serta pengusaha kantin sekolah.

“PSP telah dimulakan secara rintis di beberapa buah sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 iaitu sebanyak 64 hari persekolahan.

“Hasil projek rintis ini yang telah lengkap direkodkan sepatutnya boleh menjadi asas pelaksanaan PSP dengan lebih meluas di seluruh negara. Hampir 70 peratus murid tidak mengambil sarapan pagi pada hari persekolahan sebelum berlakunya pandemik Covid-19 kerana pelbagai faktor,” katanya pada Selasa.

Jelasnya, keadaan menjadi semakin serius selepas tercetusnya pandemik Covid-19 dan sektor persekolahan telah mula dibuka kembali.

Katanya, PSP membantu tiga golongan sasar yang mendapat manfaat secara langsung melalui program itu iaitu murid-murid, ibu bapa dan juga pengusaha kantin.

Artikel Berkaitan:

“PSP akan memberi manfaat kepada lebih dari 2.4 juta keluarga miskin di seluruh negara yang sebahagiannya adalah warga M40 yang hari ini telah jatuh menjadi warga B40 akibat pandemik ini.

“Manakala 70,000 pengusaha kantin pula akan mendapat kelegaan kerana kebanyakan mereka ini hanya bergantung kepada penjualan makanan kepada murid sekolah sebagai punca pendapatan utama,” ujarnya.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Maszlee yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Menurut Maszlee, PSP dicadang untuk dilaksanakan selama 30 minit, antara 7 hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan antara 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang.