Vaksin: Guru Tabika, Taska Kemas tunggu tarikh disuntik

Dr Abd Latiff (tiga kanan) menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima Projek Perumahan Kawasan Hujung Keton di sini pada Selasa.
Dr Abd Latiff (tiga kanan) menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima Projek Perumahan Kawasan Hujung Keton di sini pada Selasa.
A
A
A

PENDANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) masih menanti tarikh daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk melaksanakan suntikan vaksin kepada kira-kira 12,000 guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, guru-guru berkenaan juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan dan suntikan itu bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada murid di pusat bimbingan dan asuhan itu

Katanya, bagaimanapun tarikh itu hanya akan diputuskan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

"Guru Tabika dan Taska Kemas akan diberi keutamaan dahulu dalam kementerian saya, saya sebagai menteri jadi orang terakhir pun tak apa. Apa pun kita tunggu tarikh yang ditentukan oleh JKJAV.

"Semua orang nak desak, tetapi vaksin banyak itu juga, semua orang nak suntik awal tapi apa boleh buat kita perlu tunggu giliran, yang penting petugas barisan hadapan disuntik dahulu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taman Desa Tawakkal, Hujung Keton, di sini pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited serta mengutamakan petugas barisan hadapan yang perlu menerima suntikan dan sentiasa membincangkan

mengenai permintaan dan penawaran vaksin.

"Saya juga berada dalam Jawatankuasa Khas MKN yang mana setiap tiga kali seminggu perdana menteri kita akan mengetuai mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

"Antara isu kita sering bincangkan adalah tentang permintaan dan penawaran,sebab itu kita mahu lihat lebih ramai masyarakat mendaftar kerana dalam masa sama kita turut mempunyai jadual bagi setiap vaksin yang sampai ke negara kita," katanya.

Dalam majlis berkenaan seramai 57 penerima yang terdiri daripada golongan miskin tegar dan miskin (e-kasih) menerima rumah masing- masing di bawah Projek Perumahan Kawasan Hujung Keton yang turut dikenali dengan nama Taman Desa Tawakkal.