Ibu positif dadah ditahan disyaki dera bayi tujuh bulan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis menahan seorang penagih dadah wanita yang disyaki mendera bayi lelakinya berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan serta lebam di Apartment Luminari di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa kepada bayi berkenaan yang berusia 28 tahun selepas lelaki itu membuat pemeriksaan lanjut terhadap anaknya pada Isnin.

"Menurut lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu, dia dan isterinya tidak tinggal bersama kerana tidak sehaluan serta perselisihan faham berkaitan masalah rumah tangga. Pada jam 4.30 petang Ahad, isterinya yang berusia 25 tahun telah datang ke rumahnya di Kuala Bekah, Padang Benggali, di sini menghantar anak mereka.

"Lelaki itu telah meminta kakak iparnya untuk memandikan bayi berkenaan sebelum diberitahu ada kesan lebam di bahagian badan serta pendarahan dalam mata anaknya dan dia terus membawa bayi itu ke Hospital Seberang Jaya sebelum membuat laporan polis kerana mengesyaki bayi itu dipukul serta didera," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Katanya, wanita itu mendakwa bayi itu terjatuh dari buaian semasa dalam jagaan kawan-kawan lelakinya ketika di Apartment Luminari, namun keterangan itu didapati meragukan dan siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan serta beberapa rakannya merupakan penagih dadah.

Noorzainy berkata, doktor mengesahkan terdapat kesan lebam di dahi, muka dan perut sebelah kiri serta pendarahan dalam mata sebelah kanan bayi itu, namun selain itu keadaannya baik dan aktif tanpa sebarang keretakan tulang pada tubuh.

"Susulan laporan polis dibuat lelaki berkenaan, polis menahan isterinya semalam bagi membantu siasatan dan ujian air kencing mendapati wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makanan itu positif dadah serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Katanya, kes itu disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama

Artikel Berkaitan: