X

Kindly register in order to view this article
!

‘Cuci duit’ tukar RM7.5 juta kepada 35 cek: Saksi

Ahmad Zahid (kiri) ketika hadir pada prosiding sambung bicara kes beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fahmee Mohamad Nor memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa bahawa siasatan mendapati proses penukaran wang RM7.5 juta kepada 35 cek adalah aktiviti 'cuci duit'.

Selaku pegawai yang menyiasat kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mohd Fahmee berkata, pihaknya melihat ia sebagai proses ‘cuci duit’ daripada sumber wang yang meragukan.

Saksi pendakwaan ke-95 berkata, ia diperoleh setelah meneliti rakaman soal siasat daripada seorang saksi iaitu Pengurup Wang, Omar Ali Abdullah, pengeluaran cek dan lain-lain perkara.

Namun, Mohd Fahmee berkata, Omar Ali yang juga saksi pendakwaan ke-81, gagal untuk mengecam sumber atau individu yang memberi wang RM7.5 juta tersebut.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, Mohd Fahmee, 39, berkata, Omar Ali memberitahu bahawa dia tidak mengenali individu yang mahu menukar wang ke bentuk cek, atas nama Tetuan Lewis & Co, iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

“Omar Ali beritahu, orang itu berpakaian kemas dan ia (pemberian wang) adalah arahan daripada Datuk Seri Zahid,” katanya.

Bagaimanapun, ketika soal balas daripada peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, Mohd Fahmee tidak dapat menjawab soalan mengenai sumber wang yang dimaksudkan itu adalah daripada Yayasan Al Bukhary.

Ahmad Zaidi: Encik tahu atau tidak, semasa Omar Ali beri keterangan, dia kata, sumber derma itu adalah daripada Yayasan Al Bukhary.

Mohd Fahmee: (tidak menjawab).

Ahmad Zaidi: Ada atau tidak, Encik rekod percakapan daripada Yayasan Al Bukhary?

Mohd Fahmee: Secara jelas, tiada.

Ahmad Zaidi: Dalam kes pertuduhan ke-27 adalah berkaitan pengubahan wang haram, yang mana isu paling penting adalah sumber, setuju?

Mohd Fahmee: Setuju.

Ahmad Zaidi: Dalam kes ini, sumber adalah daripada Yayasan Al Bukhary, tetapi Encik gagal rekod kenyataan daripada Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Albukhary, betul atau tidak?

Mohd Fahmee sekali lagi gagal menjawab soalan berkenaan namun selepas diberi masa, saksi ini mengakui bahawa dia tidak merekod kenyataan daripada usahawan terkenal tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!