LHDN nafi dakwaan buat pusingan U berhubung PKPS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan dakwaan pihaknya membuat pusingan U berhubung layanan kepada pembayar cukai yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

LHDN dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, layanan cukai bagi setiap kes yang diterima dan disemak adalah berdasarkan fakta dan merit kes.

Menurutnya, PKPS yang dilaksanakan bermula 3 November 2018 hingga 30 September 2019, ditawarkan kerajaan sebagai penyelesaian terhadap pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan.

Katanya, program itu mensyaratkan pembayar cukai melaporkan pendapatan penuh serta membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

“Seramai 286,428 pembayar cukai telah mengambil peluang tersebut yang melibatkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion. PKPS juga berjaya menarik seramai 11,176 pembayar cukai baharu ke dalam jaringan cukai LHDN,” menurut kenyataan itu.

LHDN berkata, melalui program PKPS itu, pembayar cukai diberi jaminan bahawa pihaknya akan menerima pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh PKPS secara suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terlibat dengan PKPS.

“Pembayar cukai yang ingin mendapatkan maklum balas atau penjelasan selanjutnya atas tindakan audit atau siasatan cukai yang dilakukan terhadap mereka boleh hadir ke pejabat LHDN yang mengendalikan fail percukaian mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: