MB Johor pinggir Bersatu, Pas lantik ketua kampung: PN

SAHRUDDIN JAMAL
SAHRUDDIN JAMAL
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) Johor mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad meminggirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam lantikan ketua kampung di negeri ini.

Setiausahanya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, dakwaan itu mempunyai asas apabila lantikan ketua kampung di daerah Batu Pahat, Segamat dan Pontian telah dibuat meskipun beliau sendiri telah mengutuskan surat kepada Hasni pada 25 Februari lalu agar pelantikan itu ditangguhkan.

"Penangguhan ini dikemukakan bagi membuka ruang kepada Bersatu Johor dan Pas berbincang bersama Hasni sebelum pelantikan ketua-ketua kampung seluruh mukim di negeri ini dibuat.

"Bagaimanapun, selepas tarikh tersebut, telah dimaklumkan bahawa pelantikan ketua - ketua kampung ini telah dibuat. Sepatutnya sesuatu keputusan itu disepakati bersama antara parti- parti yang membentuk kerajaan PN dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkata, Hasni perlu mengadakan mesyuarat melibatkan pucuk pimpinan parti di dalam PN dan BN Johor untuk menyelesaikan isu timbul kerana dibimbangi kerjasama yang sedia ada akan menjadi renggang.

"Bukan sahaja lantikan ketua kampung, ada beberapa isu lain seperti ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), Ketua Whip (PBT), Pengerusi Yayasan PBT dan lantikan ketua masyarakat dan kampung baharu di negeri ini juga masih belum selesai.

"Bukanlah suatu yang keterlaluan sekiranya Bersatu Johor meminta agar Hasni selaku Pengerusi UMNO Johor dapat bermusyawarah dengan wakil-wakil parti yang lain dalam isu perlantikan ketua kampung ini," katanya.

Sahruddin mengulas laporan yang menyatakan 95 peratus lantikan ketua kampung di negeri ini hanya membabitkan ahli UMNO, sekali gus mengetepikan semangat setiakawan selain prinsip mengikut pecahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, yang menjadi amalan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Isu pelantikan ketua kampung di Johor kecoh selepas surat pelantikan yang tular dalam laman sosial didakwa oleh sesetengah pihak sebagai tidak adil dan hanya berpihak kepada satu parti.