Penulisan Abdul Hadi 'mengena umpan' penyokong jenayah luar tabii

Penulisan Abdul Hadi
Penulisan Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan penulisan beliau sebelum ini berkenaan kedudukan Islam dalam Perlembagaan telah 'mengena umpan' apabila berjaya mendedahkan pihak-pihak tertentu yang sebenarnya merupakan penyokong jenayah luar tabii.

Abdul Hadi mendakwa, individu terbabit dikenal pasti daripada golongan tokoh-tokoh liberal, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, bukan mudah untuk mendedahkan kebenaran tentang seseorang penyokong dan pembela makhluk di luar tabii kerana ia adalah satu sifat yang sangat memalukan.

“Saya tidak menyangka tulisan saya berkenaan kedudukan Islam dalam Perlembagaan menjadi pancing yang dimakan umpannya.

“Maka buaya yang ganas akhirnya dapat ditangkap walaupun bijak berselindung di bawah permukaan air yang paling tenang yang disangka tiada buaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, bukan mudah untuk seseorang manusia itu melakukan dan menyokong perbuatan luar tabii.

“Bahkan sebahagian dalam kalangan bukan Islam juga tidak mahu menjadi peminat kepada golongan terkutuk kerana semua agama yang mempunyai kitab menentang amalan tersebut.

“Maka, tidak sepatutnya orang Islam yang menyokong dan menjadi peminat kepada perbuatan tersebut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abdul Hadi, perbuatan tersebut telah menjadi kebiasaan dalam negara Malaysia kerana dunia sudah terlampau menuntut kebebasan.

“Sehingga kebebasan berkenaan perbuatan luar tabii juga dituntut dan pada hari ini manusia memperjuangkan hak asasi binatang secara gigih berbanding hak asasi manusia itu sendiri,” katanya.

Malaysia perlu melaksanakan konsep kebebasan beragama yang dicatatkan dalam perlembagaan Persekutuan bukannya kebebasan berasaskan konsep liberalisme yang tidak beragama.

Pada 4 Mac, Abdul Hadi menerusi kolum Minda Presiden menulis artikel bertajuk ‘Merdekakan Perlembagaan’ yang menyentuh keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes jenayah luar tabii.

Tulisan tersebut juga mengulas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.