Menyamar ahli keluarga, kenalan perdaya mangsa pinjam wang

A
A
A

JOHOR BAHARU - Menyamar sebagai kenalan seperti ahli keluarga, adik-beradik dan rakan melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp menjadi taktik untuk meminjam wang dan menipu mangsa.

Ahli sindiket yang membuat penyamaran itu kemudian meminta wang dan selepas berjaya meyakinkan serta memperdaya, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, itu menjadi modus operandi dilakukan satu sindiket dalam talian untuk menipu orang ramai.

Katanya, bagaimanapun kegiatan sindiket itu berjaya dipatahkan dan seramai 18 suspek berusia 15 hingga 35 tahun yang terlibat ditahan dalam Ops Puyuh jam 4.15 petang hingga 10 malam pada Ahad.

"Mereka itu yang terdiri daripada 15 lelaki dan tiga wanita tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dan kondominium di Kempas dan Setia Indah.

"Semasa serbuan dan pemeriksaan, polis merampas 60 telefon bimbit pelbagai jenama, 13 buku nota mengandungi butiran skrip perbualan serta 17 kad ATM pelbagai jenis bank yang digunakan sindiket ini untuk menipu mangsa dengan menyamar sebagai kenalan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Katanya, siasatan ke atas ahli sindiket mendapati semua mereka mula bekerja pada awal bulan ini dengan bayaran gaji RM2,500 sebulan dan menerima komisen lima peratus hasil penipuan yang berjaya dilakukan.

Jelas beliau, ahli sindiket yang menerima tawaran pekerjaan tersebut daripada iklan dalam Facebook bagaimanapun tidak sempat menikmati gaji pertama mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek yang berusia 15 tahun sudah tidak bersekolah dan semua suspek direman sehingga empat hari bermula pada Selasa.

Dalang sindiket penipuan itu katanya, sedang diburu termasuk mengenal pasti sama ada masih terdapat saki baki anggota sindiket tersebut yang masih bebas.

Ayob Khan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan setiap panggilan telefon dan tidak mudah percaya terutama melibatkan transaksi kewangan.

Orang ramai katanya, boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank terlebih dahulu melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sama ada pernah terlibat dengan kes yang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).