Muafakat Melayu, bumiputera mampu wujudkan kestabilan politik

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, muafakat politik berteraskan perpaduan Melayu dan bumiputera mampu mewujudkan kestabilan politik pasca pandemik Covid-19.

Beliau menyentuh mengenai potensi kemenangan kerusi oleh muafakat tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Daripada 222 kerusi Parlimen, 31 adalah di Sarawak dan 191 di Semenanjung dan Sabah. Berdasarkan prestasi semasa gabungan parti parti Pro Perikatan Nasional, Gerakan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi sekurang kurangnya 25/31 kerusi di Sarawak.

"Bagi 191 kerusi Parlimen yang lain, 39 kerusi kuat ditentukan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Sepintas lalu DAP mempunyai kelebihan di sini, kecuali berlaku perubahan pada pola pengundi Cina

"(Manakala) 152 kerusi yang lain adalah medan yang mampu menjadi teras politik Perpaduan Melayu/bumiputera menerusi Perikatan/Muafakat Nasional (Muafakat)

"Dari 152 kerusi tersebut,terdapat 66 kerusi yg mudah di menangi menerusi UMNO/BN, 24 kerusi menerusi Pas dan 24 kerusi menerusi PPBM jika ketiga-tiga parti Melayu/bumiputera bersepakat di bawah payung PN-BN.

"Bererti 114 kerusi dalam genggaman dan jika dicampur 25 daripada GPS, 139 kerusi minima mampu dicapai menerusi 'muafakat' BN-PN, GRS, GPS yang sedia wujud mendokong kerajaan sekarang," katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Annuar menambah, apa yang dinyatakan itu belum mengambil kira terdapatnya 38/152 lagi kerusi yang mampu ditawan permuafakatan tersebut yang berpotensi membentuk kerajaan yang kuat dengan majoriti 2/3 di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, 'muafakat' tersebut akan menjadi perkara yang paling digeruni Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

"Muafakat ini adalah refleksi kerjasama dan persefahaman politik pelbagai kaum dan etnik berteraskan toleran dan kesederhanaan untuk membawa Malaysia kembali hebat.

"Ia bakal mewujudkan kestabilan politik pasca pandemik Covid-19 bagi negara menumpukan pentadbiran ke arah pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan yang bakal dinikmati bersama," katanya.

Justeru Annuar berkata, muafakat tersebut perlu diusahakan bersama mulai sekarang demi masa depan negara.

Katanya, perkara tersebut juga bakal beliau perincikan dalam sebuah buku berjudul 'The Grand Design'.