Dua lelaki ditahan curi elektrik lombong bitcoin

46 mesin melombong bitcoin dan komputer riba dirampas di sebuah premis di Rawang pada Selasa.
46 mesin melombong bitcoin dan komputer riba dirampas di sebuah premis di Rawang pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Dua lelaki ditahan kerana disyaki mencuri bekalan elektrik untuk melombong mata wang digital bitcoin di sebuah premis di Jalan Rawang Putra 1 Rawang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua lelaki berusia 22 dan 35 tahun itu ditahan pada jam 1.20 pagi.

"Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Rawang telah melakukan pemerhatian selama setengah jam di hadapan premis itu.

"Kita dapati dua lelaki berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan dengan tergesa-gesa memasuki premis tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Arifai berkata, pihaknya menahan dua lelaki itu ketika mereka keluar dari premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, kita menemui 46 mesin melombong bitcoin yang sedang aktif beroperasi dengan membuat penyambungan elektrik secara haram," katanya.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad mengesahkan premis itu telah mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan operasi mesin melombong bitcoin berdasarkan pintasan pada litar utama.

"Hasil siasatan mendapati, aktiviti ‘melombong’ bitcoin itu telah dilakukan sejak tiga bulan lalu. Setiap mesin yang beroperasi boleh mencapai keuntungan antara RM500 hingga RM 1,000 sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.