Wan Saiful sokong seruan muafakat politik diteruskan

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menyokong seruan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar muafakat politik yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan sehingga dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau sangat bersetuju dengan pandangan tersebut kerana perpecahan undi Melayu hanya akan menghasilkan ketidakstabilan politik yang tidak sudah, lantas menyukarkan proses menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, kestabilan politik penting untuk pembinaan semula ekonomi negara.

"Dalam keadaan kita tahu bahawa DAP dan PH (Pakatan Harapan) memang mahukan undi Melayu terpecah untuk mereka kembali berkuasa, sudah pasti seruan untuk menjaga muafakat politik ini mesti dipandang serius oleh semua yang ikhlas.

"Bagi saya, sesiapa sahaja yang sengaja mahu kita berpecah dan mahu kita lemah, maka mereka adalah ejen DAP dan PH kerana kedua-duanya memang mahukan penjajaran baharu yang melemahkan kita," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas mahu UMNO membuktikan parti itu rakan yang setia dalam kerajaan PN.

Tegasnya, semua parti komponen yang membentuk kerajaan PN juga wajar memberi fokus bagi membantu rakyat dalam situasi yang penuh mencabar ini.

Dalam pada itu Wan Saiful berkata, beliau juga amat menghargai pandangan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang mahu semua pihak mendukung kerajaan PN serta tidak menimbulkan pandangan yang menyebabkan situasi tidak berapa selesa untuk rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pandangan Tuan Ibrahim bersesuaian dengan akhlak berorganisasi dalam satu jemaah atau satu keluarga.

"Bila kita berada dalam sesuatu keluarga, maka janganlah sengaja timbulkan pandangan yang mengguris ahli keluarga. Kita mesti sentiasa menjaga semangat kekeluargaan, bukan kerap kali berusaha meruntuhkan kesatuan yang ada untuk agenda peribadi.

"Dalam suasana negara yang sukar sekarang ini, rakyat mahu kita fokus kepada kebajikan dan pembinaan ekonomi, jadi perkara yang mengusutkan suasana seharusnya simpanlah dulu," katanya.

Tambah beliau, mana-mana pihak tidak seharusnya menjadi ejen merosakkan kestabilan politik negara kerana keutamaan perlu tertumpu kepada kestabilan dan kepentingan rakyat, bukan isu yang penting secara peribadi kepada lima enam orang sahaja.