Pelajar IPTS rugi RM 5,250 diperdaya lelaki beli syiling lama

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Damansara kerugian RM 5,250 selepas terpedaya dengan tawaran seorang lelaki warga asing yang kononnya berminat membeli wang syiling lama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pelajar berusia 18 tahun itu mendakwa menerima pesanan Instagram miliknya daripada suspek yang menawarkan RM80,000 untuk membeli lapan keping wang syiling lama.

"Mangsa hanya berurusan dengan suspek melalui WhatsApp dengan menggunakan nombor antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Nik Ezanee berkata, mangsa menunjukkan wang syiling dimiliki, sebelum suspek bersetuju untuk membeli wang syiling itu.

"Setelah mangsa menyerahkan nombor akaun miliknya, suspek mendakwa wang telah dimasukkan, namun disekat untuk pengeluaran," katanya.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa memasukkan wang caj transaksi berjumlah RM800, tetapi mangsa tidak mempunyai wang sebanyak itu.

"Mangsa hanya memasukkan RM100 ke dalam akaun seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ‘keldai akaun’," katanya.

Menurutnya, suspek tidak puas hati dan sering menghubungi mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Suspek memberi pelbagai alasan supaya mangsa memasukkan wang, kononnya wang RM80,000 akan diterima oleh mangsa," katanya.

Nik Ezanee berkata, mangsa yang terpedaya melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun sama berjumlah RM5,250.

"Mangsa mula menyedari bahawa dirinya ditipu apabila suspek masih meminta wang daripadanya, kemudian dia membuat laporan polis pada 1 Mac lalu," katanya.

Nik Ezanee menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam urusan jual beli apa jua barang supaya tidak mudah ditipu dengan pelbagai muslihat licik penjenayah.

"Tiada urus niaga mudah dalam talian yang boleh membawa keuntungan yang berlipat kali ganda kepada kita," katanya.