Sidang Parlimen: DAP lapor polis kenyataan Takiyuddin

Abdul Aziz (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Takiyuddin di IPD Ipoh bersama Howard Lee, di sini pada Selasa.
Abdul Aziz (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Takiyuddin di IPD Ipoh bersama Howard Lee, di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - DAP Perak membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, menerusi siaran akhbar oleh Istana Negara pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong jelas tidak memberi halangan untuk sidang Parlimen diadakan ketika darurat.

Menurutnya, kerajaan seharusnya tidak memberikan sebarang alasan untuk mengelak memanggil sidang Parlimen ketika ini.

"Kerajaan nampaknya memang tidak mahu memberikan nasihat kepada Istana Negara untuk mengadakan sidang Parlimen dan ini bertentangan dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) 2021 itu sendiri.

"Ini (laporan polis) salah satu usaha kita. Kita mulakan dan kita harap yang lain akan buat bagi memberikan kesedaran kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Selasa.

Hadir sama membuat laporan polis itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Nasional, Howard Lee Chuan How.

Abdul Aziz berkata, kerajaan boleh mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar termasuk Kementerian Kesihatan untuk meneruskan sidang Parlimen kerana sekolah juga sudah dibuka.

Katanya, jika tidak sesuai diadakan di bangunan Parlimen mungkin boleh dipertimbangkan lokasi lain asalkan boleh bersidang.

Artikel Berkaitan:

"Kalau payah sangat bawah pokok pun boleh kalau dikatakan bahaya di dalam bangunan Parlimen. Tidak halangan sebenarnya untuk sidang Parlimen diadakan di tempat lain.

"Semua Ahli-ahli Parlimen pembangkang tak ada masalah nak bersidang, yang ada masalah sekarang ini adalah kerajaan," katanya.

Kata Abdul Aziz lagi, sidang Parlimen mesti diadakan bagi membolehkan undang-undang digubal.

Katanya, dalam tempoh darurat, kerajaan boleh membuat pelbagai undang-undang tanpa melalui Parlimen seperti melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac ini.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Namun pada 3 Mac lalu, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Takiyuddin berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan putus tiada keperluan adakan sidang Parlimen