Shahidan Kassim dilantik pengerusi PR1MA

Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkuat kuasa serta-merta.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin pada satu sidang akhbar pada Selasa.

Zuraida berkata, pengalaman lima penggal sebagai wakil rakyat dan dalam tadbir urus yang ada pada Shahidan amat diperlukan untuk melonjakkan prestasi PR1MA.

"Pengalaman beliau sebagai menteri besar Perlis dan pernah bertugas sebagai menteri di jabatan perdana menteri, jadi ini adalah tempat yang betul untuk beliau menjadikan misi bagi menyediakan kediaman mampu milik di negara ini," katanya ketika mengadakan lawatan di ibu pejabat PR1MA di sini pada Selasa.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Shahidan sebagai pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia.

Perbadanan itu ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai entiti yang akan menyelaraskan kesemua agensi pembangunan perumahan dalam merancang pembinaan dan menyediakan pelan kewangan bagi Rumah Mampu Milik (RMM).

Pelantikan Shahidan sebagai pengerusi PR1MA bagi menggantikan Tan Sri Eddy Chen yang memegang jawatan tersebut pada 2018.

Sementara itu, mengenai Perbadanan Perumahan Malaysia (NHC), Zuraida berkata, antara fokusnya adalah melaksanakan penyelidikan dan perancangan strategik khususnya dari segi pemusatan pangkalan data perumahan, mengatasi masalah ketidaksepadanan antara bekalan dan penawaran terutama bagi perumahan mampu milik sama ada awam mahupun swasta.

"Ia juga akan melihat akta, perundangan, kawalan, pelesenan dan penguatkuasaan perundangan perumahan bagi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat dalam industri perumahan seperti pembeli, pemaju, kontraktor serta pembiaya kewangan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, penubuhannya juga bagi menguruskan insentif perumahan, skim sewaan, pembiayaan perumahan, penyelenggaraan dan pengurusan unit tidak terjual.

Zuraida berkata, penubuhan entiti tunggal perumahan itu akan turut memacu agenda perumahan negara dengan lebih kohesif dan efisien dari segi kewangan, pentadbiran dan memastikan pemilikan rumah rakyat Malaysia mencukupi, berkualiti dan mampu milik. - Bernama