Korban letupan di Equatorial Guinea meningkat 98 orang

Kelihatan serpihan bertebaran akibat kejadian letupan di berek tentera di Bata, Equatorial Guinea. - Foto EPA
Kelihatan serpihan bertebaran akibat kejadian letupan di berek tentera di Bata, Equatorial Guinea. - Foto EPA
A
A
A

YAOUNDE - Angka korban akibat siri letupan di berek tentera di Bata, bandar paling padat penduduk di Equatorial Guinea meningkat kepada 98 orang, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Agensi Anadolu.

Menurut akaun Twitter kementerian itu, 615 mangsa cedera sedang dirawat oleh pakar dari Ebebeyin, Centro Sur dan Mongomo.

Seramai 316 sudah dibenarkan pulang, manakala 299 masih dirawat di Hospital Wilayah Bata, Pusat Perubatan La Paz dan Poliklinik Guinea Salud.

Menurut kenyataan Presiden Teodoro Obiang Nguema Mbasogo, letupan yang berlaku pada Ahad sekitar jam 4 petang waktu tempatan (1500 GMT) itu berpunca daripada pengabaian dan kelalaian pengendalian bahan letupan di kem Mondong Nkuantoma.

Letupan turut menggegarkan kawasan berhampiran dan memusnahkan hampir keseluruhan rumah dan bangunan di Bata.

Presiden telah mengarahkan pihak berkuasa menyiasat kejadian itu dan jumlah kerosakan serta meminta orang ramai kekal bertenang.

Beliau turut meminta bantuan masyarakat antarabangsa membantu Equatorial Guinea menghadapi detik sukar ini, ekoran krisis ekonomi akibat kejatuhan harga minyak dan pandemik Covid-19.

Guinea adalah negara Afrika Tengah yang merangkumi daratan Rio Muni dan lima pulau gunung berapi di luar pesisir.

Artikel Berkaitan:

Ibu negaranya, Malabo manakala Pulau Bioko adalah pusat industri minyak. Bata pula merupakan bandar pelabuhan dan komersial.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, ekonomi negara itu sangat bergantung pada industri minyak dan gas asli, yang menyumbang lebih 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasarnya, 80 peratus hasil fiskal dan 86 peratus eksport pada 2015. - Bernama