Integriti penjawat awam perlu ditingkatkan

Ling Tian Soon
Ling Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Integriti penjawat awam perlu ditingkatkan dengan memberi penekanan terhadap amalan jujur, amanah, telus mengikut bidang kuasa dan tugas agar budaya rasuah melibatkan amalan 'kawtim' dalam menyelesaikan sesuatu isu dapat dihindarkan.

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, sektor awam merupakan tulang belakang yang melaksanakan dasar negara bagi menjadi penghubung kepada rakyat sama ada di bandar mahupun desa.

Katanya, cukup membimbangkan apabila amalan 'kawtim' atau boleh tolong akan menjadi kebiasaan sekiranya ia tidak dihindarkan dengan penekanan integriti penjawat awam.

"Sebagai wakil orang muda, sudah tentu orang muda tidak boleh menerima apa juga bentuk rasuah. Justeru saya tegaskan di sini agar kerajaan dapat tingkatkan integriti di sektor awam.

"Integriti ini penting supaya tiada individu yang menawar dan menerima rasuah atau boleh tolong dengan amalan 'kawtim'. Jadi sebelum kita perangai rasuah, kita juga perlu perangi amalan 'kawtim' ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, amalan 'kawtim' perlu dijauhi walaupun sekadar dengan ungkapan mudah seperti 'boleh tolong' kerana ia dikhuatiri akan menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.

"Pada pandangan saya, jika ditahan oleh penguatkuasa mungkin disebabkan ada melakukan kesalahan, maka akan ada ungkapan kata-kata seperti boleh ke? Sebenarnya tidak perlu kerana ia seolah-olah mengajak penguatkuasa untuk 'kawtim' dan boleh menjurus kepada perlakuan rasuah.

"Amalan ini juga saya dapati sudah biasa dalam masyarakat kita dan ia seharusnya dihindarkan supaya generasi muda tidak mengikutnya kerana saya yakin amalan 'kawtim' ini banyak negatifnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tian Soon menjelaskan bahawa kadar integriti penjawat awam yang cukup tinggi seperti di Singapura wajar dicontohi di mana di republik itu difahamkan memberikan gaji yang cukup tinggi kepada penjawat awam mereka.

"Saya yakin Malaysia sedang menuju ke arah itu, mungkin pendapatan penjawat awam masih belum mencukupi terutamanya mereka yang mempunyai tanggungan besar atau kos hidup di bandar besar yang tinggi menyebabkan mereka terjebak dengan rasuah," katanya.

Tian Soon turut menyeru agar integriti penjawat awam dapat ditingkatkan dengan menjadikan amalan yang baik sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka.

"Pastinya pendidikan awal mengenai rasuah perlu ditanam dalam diri anak-anak muda agar apabila mereka bekerjaya kelak sama ada di sektor awam, swasta atau bekerja sendiri, mereka akan menolak rasuah," katanya.