'Tuduhan ini untuk beratkan hukuman saya'

Dr Ahmad Zahid ketika hadir pada prosiding sambung bicara kesnya di Mahkamah Tinggi pada Selasa.
Dr Ahmad Zahid ketika hadir pada prosiding sambung bicara kesnya di Mahkamah Tinggi pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih. (Saya) Tidak mengaku (salah),” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian sejurus jurubahasa membacakan semula pertuduhan ke-27 selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan tersebut.

Pagi Selasa, pihak pendakwaan memohon untuk meminda pertuduhan pengubahan wang haram yang memasuki perbicaraan hari ke-49.

Ia membabitkan pindaan bilangan cek daripada 30 kepada 35 keping dengan jumlah daripada RM6,885,300 kepada RM7,511,250.

Dalam pertuduhan pindaan itu, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram iaitu melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan cara mengarahkan pengurup wang, Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

Cek-cek itu kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Marhaba Enterprise, Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016 yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan memanggil saksi pendakwaan ke-95.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan yang mana 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.