Sektor komoditi sumbang RM85.1 bilion kepada KDNK 2020

Sebanyak RM48.3 bilion hasil sektor komiditi disumbangkan oleh industri sawit.
Sebanyak RM48.3 bilion hasil sektor komiditi disumbangkan oleh industri sawit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi menyumbang RM85.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM48.3 bilion disumbangkan oleh industri sawit.

“Bagi memastikan prestasi sektor komoditi negara kekal mampan, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran amat diperlukan.

“Faktor ini adalah penting agar produktiviti sektor komoditi dapat dipertingkatkan lagi bagi menjana pendapatan negara,” katanya semasa berucap merasmikan program Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 secara maya pada Selasa.

Karnival secara dalam talian anjuran bersama KPPK dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia itu menumpukan beberapa industri dalam sektor komoditi seperti sawit, getah, kayu kayan, kenaf, koko dan lada dengan lebih 60,000 kekosongan jawatan.

Mohd Khairuddin mengajak rakyat tempatan khususnya pencari kerja supaya merebut peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai melalui karnival berkenaan.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak Perkeso untuk membantu pihak industri mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan dengan mengutamakan pekerja tempatan dan pekerja dalam kalangan orang asli,” katanya.

Beliau berkata, menyedari kekurangan tenaga kerja tempatan yang menceburi sektor perladangan, KPPK melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) turut menumpukan usaha membangun dan memperkasa pembangunan modal insan terutama bagi meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir dan separa mahir.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran karnival itu adalah selaras dengan dasar terkini kerajaan yang mahu sektor itu dikuasai semula oleh pekerja tempatan berbanding sebelum ini yang dimonopoli tenaga kerja asing, khasnya komoditi sawit yang dianggarkan mencatatkan 75 peratus pekerja warga asing.

Terdapat lebih 8,600 jawatan kosong daripada 26 majikan sektor perladangan dan komoditi ditawarkan dalam karnival tersebut di samping dianggarkan sebanyak 3,000 peserta warga tempatan termasuk para lepasan pengajian tinggi dan komuniti orang asli akan mengambil bahagian dalam karnival dua hari itu.

Bagi pencari kerja, pendaftaran untuk menyertai Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 boleh dilakukan menerusi pautan https://careerfair.perkeso.gov.my.

Selain sesi temu duga secara maya pada Rabu, program taklimat mengenai PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi webinar Peluang Kerjaya Di Sektor Agrikomoditi turut diadakan. - Bernama