‘Pas tak main-main perkukuh MN, pertahan PN’

Hanafi (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Rizam Ismail di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Selangor pada Isnin.
Hanafi (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Rizam Ismail di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Selangor pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak ‘main-main’ dalam memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), tegas Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Hanafi berkata, Pas cukup optimis dalam memperkukuhkan MN dan dalam masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Jika ditanya, main-mainkah Pas (dalam) memperkukuhkan MN, jawapannya tidak! Adalah Pas serius dengan PN, jawapannya ya!

“Inilah tanggungjawab yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi kepada Badan Perhubungan Negeri agar membawa naratif memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah jemu memperkukuhkan MN kerana ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang cukup besar untuk dilaksanakan.

Katanya, selepas ini rakyat akan melihat pertemuan Pas dengan rakan-rakan parti komponen dalam PN pula untuk membuka ruang musyawarah bersama bagi mempertahankan kerajaan dan gabungan politik demi kebajikan serta kebaikan rakyat.

Menurutnya, pihaknya yakin dengan kesatuan rakan-rakan politik dalam mengurus perbezaan adalah formula terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat untuk memberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perpaduan ummah tak pernah lekang daripada bibir pimpinan. Insya-ALLAH satu ketika nanti kita merasai nikmat atas usaha menyatupadukan ummah.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, apa sahaja strategi dan percaturan politik yang akan dibawa jangan sesekali menyisih hasrat dan keperluan mereka hasil daripada keputusan kita,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkongsikan kelebihan yang ada dalam MN peringkat negeri Selangor.

Katanya, antaranya adalah bermusyawarah, keterbukaan dalam menerima sisi pandang berbeza yang serius dan mampu ditukar kepada menghormati dan boleh berseloroh.

“Masing-masing boleh mempertahankan prinsip parti dan bersedia dalam keadaan fleksibel mencantumkan perkara-perkara bersifat teknikal.

“Saya cukup gembira bertemu dengan senior-senior politik sama ada Pas mahupun UMNO yang berpengalaman dalam sepak terajang politik kerana saya melihat seni politik mereka menyatakan ketegasan dalam bahasa yang benar-benar penuh saling menghormati,” katanya.

Sebelum itu, Hanafi berkata, jumlah kerusi komposisi pengundi mengikut umur, bangsa dan non-partisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor mencerminkan wajah sebenar Malaysia.

Katanya, undi anak muda berada pada peratus yang tinggi dalam menentu parti dan gabungan mana akan diberi mandat untuk mengurus tadbir Selangor.

Tambahnya, pihaknya bimbang dengan perkembangan celik politik anak muda ketika ini.

Bagi menghadapi PRU15, katanya, parti perlu memberi perhatian kepada anak muda yang tidak berparti kerana peratus mereka adalah lebih tinggi berbanding ahli pemuda dalam parti.

“Masih ramai yang belum berdaftar sebagai pemilih bahkan mereka masih belum menentukan parti dan gabungan politik mana menjadi pilihan mereka. Inilah cabarannya buat semua parti politik dalam menghadapi PRU15.

“Jika kita hanya mengharapkan undi teras anak muda dalam parti masing-masing, kita akan ketinggalan dalam mencapai hasrat membawa mandat rakyat dalam Parlimen dan DUN,” katanya.