'Masuk Bersatu bukan isu besar'

Sivasubramaniam menyampaikan ucapan ketika Majlis Perjumpaan dan Suai Kenal Kepimpinan Parti Komponen PN Bahagian Ipoh Barat di Pejabat Bersatu Bahagian Ipoh Barat pada Isnin.
Sivasubramaniam menyampaikan ucapan ketika Majlis Perjumpaan dan Suai Kenal Kepimpinan Parti Komponen PN Bahagian Ipoh Barat di Pejabat Bersatu Bahagian Ipoh Barat pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam menyifatkan penyertaannya ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bukan isu besar.

Menurutnya, isu tersebut sengaja diperbesarkan oleh pembangkang kerana mereka tidak mempunyai senjata lain untuk menyerang Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, sebenarnya Gerakan memang sebahagian daripada komponen PN dan secara tidak langsung satu keluarga dengan Bersatu.

"Pembangkang lebih suka mainkan isu ini, jadi bagi kita tak ada masa untuk beri alasan kepada sesiapa mengapa saya tinggalkan Gerakan tapi sebenarnya kita dalam satu keluarga.

"Kalau Gerakan tak ada dalam PN mungkin soalan itu boleh ditujukan kepada saya jadi memang perlu kena jawab, tetapi sekarang tak ada isu," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Perjumpaan dan Suai Kenal Kepimpinan Parti Komponen PN Bahagian Ipoh Barat di Pejabat Bersatu Bahagian Ipoh Barat pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Barat, Mohammad Iskandar Abdul Rahman; Yang Dipertua Pas Kawasan Ipoh Barat, Mohd Rafaad Razalli; Pengerusi Gerakan Bahagian Ipoh Barat, V Sugumaran dan Ketua Penerangan Bersatu Ipoh Barat merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Saiful Adli Mohd Arshad.

Ditanya mengenai penyertaan di dalam Bersatu, Sivasubramaniam berkata, keputusan menjadi ahli bersekutu Bersatu dibuat kerana mahu meneruskan perancangan terhadap rakyat di kawasan.

Menurutnya, walaupun ahli bersekutu Bersatu tidak mempunyai hak mengundi pada pemilihan, perkara itu bukan satu kerugian kerana paling penting projek-projek yang diusahakan selama ini di kawasan Buntong dapat berjalan seperti biasa berbanding jika kekal bersama DAP.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menyifatkan gabungan di bawah PN mampu memberikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Kalau kita bergabung semangat muafakat, sudah tentu kita akan menang dengan cukup besar sebab pada 15 tahun yang lepas ada angin perubahan. Semasa pembangkang menang, janji yang dia bagi tak ada satu yang ditunaikan.

"Kita tak boleh bohong kepada rakyat, jadi hari ini rakyat tanya. Itu salah satu sebab, apa yang kita janji kena tunaikan. Itu merupakan salah satu isu yang kita akan gunakan apabila berjumpa dengan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Sivasubramaniam menyerahkan nasib beliau pada PRU15 nanti kepada pimpinan tertinggi untuk memutuskan sama ada kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong atau sebaliknya.

Katanya, jika diberikan peluang, beliau yakin mampu mempertahankan kerusi tersebut kerana telah empat penggal berkhidmat di kawasan tersebut.

Sivasubramaniam sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas disahkan menyertai Bersatu daripada Gerakan selepas tidak lagi bersama DAP.

Selain ADUN Buntong itu, ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong turut menyertai Bersatu sebagai ahli bersekutu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bekas ADUN DAP Perak sertai Bersatu