X

Kindly register in order to view this article
!

Berhenti kerja jadi tukang jahit

Leela semasa mengajar kelas jahitan.
A
A

SEREMBAN - Bermula dengan menjahit secara sambilan, kini M Leela, 42, menjadikan profesion itu sebagai punca utama pendapatan keluarga.

Leela berkata, sebelum menceburi dalam bidang jahitan tahun 2011, beliau bekerja sebagai kerani kilang di Tampin.

“Namun, disebabkan minat dengan jahitan, saya nekad berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang ini,” katanya.

Menurut Leela, daripada hanya menerima 10 tempahan jahitan, beliau kini dapat membuka sebuah kedai jahitan dan mengupah seorang pembantu.

“Bagi saya kalau kita mahu berjaya, kita perlu berusaha, bekerja keras dan sanggup tanggung risiko.

“Risiko yang saya ambil adalah berhenti kerja sebagai kerani dan tumpu sepenuh perhatian kepada menjahit, walau pun pada waktu itu saya tidak mempunyai kedai jahitan.

“Siapa sangka, kalau dulu gaji hanya lebih kurang RM1,500 sebulan, kini saya mampu peroleh pendapatan tetap lebih RM3,500. Jika pada musim perayaan hasil pendapatan boleh mencecah sehingga RM7,000. Lagi rajin, lagi banyaklah untung kita boleh dapat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Leela, dia tidak menyangka usahanya selama ini belajar dalam bidang jahitan dan kraftangan membuahkan hasil.

“Selama ini saya merasakan belajar menjahit hanya untuk buat baju dan langsir sahaja, rupanya banyak cabang kita boleh pergi.

“Apabila saya ada kemahiran ini, saya membuka tawaran kelas belajar menjahit dan syukur ia mendapat sambutan.

“Semua tawaran yang saya sediakan dikenakan bayaran berpatutan, sekali gus memberi peluang kepada saya menambah pendapatan,” katanya.

Tambah Leela, setelah enam tahun menjahit, dia diberi peluang untuk turut serta dalam program Power House Wanita Gemilang (PH Gem) sebagai tenaga pengajar bagi kelas jahitan.

“Program yang dilaksanakan ini sangat baik kerana ia dapat membantu wanita meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

“Sejak menyertai program PH Gem ini, ramai wanita telah dibantu dan menjadikan mereka sebagai usahawan jahitan dan kraftangan,” katanya.

PH Gem merupakan program pemerkasaan wanita, inisiatif kerajaan Negeri Sembilan khusus untuk aktiviti pembangunan wanita.

Terdapat lima skop dalam PH Gem iaitu dalam sektor kesihatan, pendidikan,hak asasi dan perundangan, ekonomi serta alam sekitar.

Pada tahun 2019, sebanyak 99 program PH Gem telah dilaksanakan seluruh Negeri Sembilan, membabitkan 14,416 peserta dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM508,015.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!