Ibu 12 anak jual jamu selepas spa terpaksa ditutup akibat Covid-19

Rabtahwati bersama sebahagian daripada 12 anaknya.
Rabtahwati bersama sebahagian daripada 12 anaknya.
A
A
A

GEORGETOWN - Diduga dengan perniagaan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19 bukan penghalang untuk seorang pemilik spa menceburi bidang perniagaan lain demi kelangsungan hidup bersama 12 anaknya.

Rabtahwati Ramli berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak kepada perniagaan diusahakan apabila perlu menutup tiga buah spa di Pulau Pinang dan di ibu negara.

“Saya terpaksa tutup spa pada awal tahun lalu secara berperingkat kerana PKP. Selain itu, tiada pelanggan yang datang kerana bimbang dengan penularan pandemik Covid-19.

“Operasi spa terpaksa ditutup sepenuhnya pada April lalu dan sehingga kini masih tidak boleh dibuka kerana keadaan Covid-19 belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, Rabtahwati bernasib baik apabila dia mewarisi kemahiran memproses jamu daripada neneknya yang merupakan seorang bidan.

Kata Rabtahwati, menyedari perniagaan spa tidak lagi menjamin pulangan yang memberangsangkan, dia mula aktif menjual produk herba dengan menggunakan jenama Rabsa Herbs.

“Produk saya ini semuanya berasaskan herba antaranya jamu, set peralatan bersalin dan banyak lagi. Sebelum ini, saya ada jual produk ini juga. Saya usaha sendiri sejak dua tahun lalu dengan semua ramuan adalah daripada saya sendiri.

“Saya juga mempunyai kilang di Kulim, Kedah. Produk herba Rabsa Herbs ini yang membantu saya menjana pendapatan sepanjang operasi spa ditutup dan saya bersyukur kerana sambutan produk herba ini sangat memberangsangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi membantu golongan wanita yang terjejas atau kehilangan pendapatan akibat pandemik ini, dia merancang untuk menjalankan program mentor mentee khas untuk golongan berkenaan.

“Saya menerima banyak permintaan daripada wanita-wanita yang berminat untuk mempelajari selok belok perniagaan spa termasuk penjagaan selepas bersalin di rumah selepas Covid-19 melanda.

“Program ini dijangka bermula tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan lagi selepas PKP 2.0 dilaksanakan sejak Januari lalu. Dalam program itu nanti, saya akan membuka peluang kepada 20 wanita yang berminat untuk menjalankan perniagaan spa di rumah,” katanya.

Tambahnya, ilmu serta kelengkapan spa akan dibekalkan kepada peserta dan ia diadakan secara percuma.

“Bagi mereka yang berminat, mereka boleh berhubung menerusi Facebook Rabsha Therapy,” katanya.

Salah sebuah spa milik Rabtahwati yang ditutup selepas pelaksanaan PKP kerana penularan Covid-19.
Salah sebuah spa milik Rabtahwati yang ditutup selepas pelaksanaan PKP kerana penularan Covid-19.