Bekas atlet pengasas ‘Hang Boba’

Norfazlinda
Norfazlinda
A
A
A

MELAKA - Bermula menjual aksesori wanita secara kecil-kecilan, seorang wanita muda kini mengorak langkah menjadi pelopor jenama minuman terbaharu di negeri ini.

Ibu kepada tiga orang anak, Norfazlinda Tambi Chek, 33, berkata, minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan mendorong beliau membuka kedai minuman ‘Hang Boba’ di Jalan Hang Tuah di sini.

“Sejak remaja lagi saya memang suka berniaga. Macam-macam saya pernah jual, aksesori wanita sehinggalah mainan kanak-kanak di kiosk.

“Sikap saya yang tidak mudah mengalah dan berani menerima cabaran membuatkan saya cuba melebarkan sayap dalam bidang perniagaan air boba pula,” katanya.

Menurut Norfazlinda, Hang Boba yang diasaskannya juga merupakan air boba pertama berasaskan gula melaka di negara ini.

“Idea menggunakan gula melaka juga adalah bantuan daripada anak-anak yang mencuba kepelbagaian resipi berasaskan gula melaka pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu,” katanya.

Bekas atlet olahraga Melaka ini juga berkata, walaupun sibuk menguruskan perniagaan termasuk membuka gimnasium di Jalan Tun Ali di sini, namun ia bukan alasan untuk beliau mengabaikan keluarga.

“Sebagai seorang wanita bekerjaya, saya perlu bijak membahagikan masa untuk keluarga dan perniagaan. Walaupun sibuk, saya tetap akan pastikan hantar dan ambil anak saya berusia 10 dan lapan tahun ke sekolah termasuk anak berusia empat tahun yang dihantar ke taska.

Artikel Berkaitan:

“Anak-anak cepat membesar, pada usia beginilah kita perlu berikan perhatian dan bersama mereka,” katanya.

Tambah Norfazlinda, beliau mengakui bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti ini tanpa sokongan dan doa keluarga serta suami, Fariz Ali, 38.

“Saya juga bersyukur dikelilingi insan dan rakan-rakan yang baik dan memahami.

“Saya harap lebih ramai wanita yang berjaya kerana wanita sememangnya ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri terutama dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting untuk berada di tahap sekarang, sikap jangan mudah mengalah dan tidak mudah berasa bangga dengan apa yang dimiliki perlu disematkan dalam hati.

“Apa yang saya lakukan bukan untuk bermegah dan bangga, tapi kepayahan bermula dari bawah ini saya mahu jadikan satu pembakar semangat kepada wanita lain untuk berjaya.

“Walaupun wanita itu hanya bergelar suri rumah, namun ia bukan halangan untuk kita maju dan bantu menambahkan pendapatan keluarga dengan menceburi perniagaan,” katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) ketika merasmikan kedai Hang Boba milik Norfazlinda di Jalan Hang Tuah pada Sabtu lalu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) ketika merasmikan kedai Hang Boba milik Norfazlinda di Jalan Hang Tuah pada Sabtu lalu.