Sokong cadangan kerja dari rumah jaga ahli keluarga sakit

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan sekerja dan majikan menyokong cadangan untuk melaksanakan kemudahan bekerja dari rumah (BDR) bagi pekerja yang menjaga ahli keluarga uzur dan sakit serta menyokong isteri menjaga anak yang baru lahir.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, cadangan BDR merupakan perkara positif yang boleh diguna pakai terutama kepada pasangan yang sama-sama bekerja.

Menerusi BDR, katanya, pasangan ataupun pekerja dapat melakukan tanggungjawab bersama pasangan mereka.

“Ini amat penting kepada pasangan yang meninggal dunia. Maknanya keseluruhan kehidupan keluarga akan berubah apabila salah seorang meninggal dunia. Bererti juga tanggungjawab telahpun terbeban pada satu pihak yang telah ditinggalkan.

“Mungkin juga pasangan ini telah kehilangan pendapatan isi rumah kerana ketiadaan pasangan yang sebelum ini saling sokong menyokong dalam penjagaan rumah tangga termasuk dari segi perbelanjaan isi rumah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Adnan berkata, cadangan BDR membolehkan mereka mengurus secara terus dari rumah dan pada masa sama boleh melakukan kerja tanpa menjejaskan produktiviti.

Justeru, beliau berharap perkara tersebut boleh dikaji secara serius dan Ceupacs sedia membantu serta menyokong cadangan itu.

Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan agar kerajaan menyediakan insentif khas kepada majikan serta pekerja sebelum memulakan BDR.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, insentif yang dicadangkan tersebut ialah berkaitan dengan kemudahan pekerja seperti capaian internet, komputer riba dan sebagainya.

Menurutnya, mereka yang melangsungkan BDR perlu mendapat persekitaran kerja yang sama semasa di pejabat.

“Insentif yang lebih baik boleh diberikan daripada kerajaan, majikan kepada pekerja. Sekarang BDR boleh dibuat di mana sahaja termasuk dari dapur, ruang makan dan juga bilik tidur.

“Saya rasa lebih elok kalau siapkan tempat yang lebih bersesuaian supaya apabila ia masuk ke kawasan kerja, mereka akan mendapat situasi yang sama.

“Kawasan kerja ini harus penuhi aspek ditetapkan. Bermakna dari segi peralatan, tempat duduk dan sebagainya supaya pekerja tidak hadapi masalah kesihatan dan keselamatan bila bekerja,” ujarnya.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani pula berkata, BDR boleh dilakukan bagi pekerja sektor swasta yang terlibat dengan tugasan pentadbiran dan sokongan.

Menurutnya, sektor operasi swasta memerlukan pekerja untuk bekerja di kawasan lapangan.

“Kalau kerja di sektor swasta terlibat tugasan sokongan mungkin boleh dipertimbangkan untuk kerja di rumah. Namun bukan dari sektor operasi.

“Untuk sektor operasi, saya tidak setuju. Ini kerana tidak boleh kerja dari rumah sebab tenaga kerja diperlukan di tempat kerja. Mustahil untuk kerja dari rumah, contohnya pembinaan, perkilangan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan arahan tersebut mungkin lebih berpihak kepada penjawat awam dan juga mereka yang bekerja dalam bahagian pentadbiran dan sokongan.