Usah ghairah joli ‘wang kecemasan’

No Image Caption
A
A
A

RAMAI sudah terasa ‘gatal telapak tangan kanan’ selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan permohonan i-Sinar diluluskan tanpa syarat dan bayaran dibuat secara berperingkat bermula 2 Mac lalu.

Bagi golongan ‘kategori 2’ yang benar-benar terkesan akibat hilang punca pendapatan, gaji dipotong, tiada bayaran kerja lebih masa serta elaun dikurangkan akibat pandemik Covid-19, bayaran itu begitu dinanti-nantikan demi kelangsungan hidup.

Sememangnya tujuan utama kerajaan membenarkan simpanan persaraan dikeluarkan lebih awal dengan memansuhkan syarat i-Sinar untuk membantu pencarum KWSP mengharungi cabaran ketika pandemik.

Pelbagai cara dikongsi pakar-pakar ekonomi untuk pencarum memanfaatkan wang persaraan itu supaya tidak melakukan sebarang pembaziran.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kaedah perbelanjaan wang itu diumpamakan seperti membawa air dalam baldi kerana jika tidak dibawa dengan betul, air akan tumpah.

Menurutnya, sekiranya tidak dibelanjakan wang tersebut dengan betul ia akan menyebabkan kerugian sangat besar kepada pencarum kerana seperti yang diketahui wang itu sepatutnya dibelanjakan selepas persaraan.

Bukan sesuatu yang pelik bagi kebanyakan orang kita, selagi duit belum diterima, niat asal mahu menyimpan atau ‘beranakkan’ wang tersebut untuk meningkatkan dana kecemasan. Namun, selepas duit ada di tangan, lain pula jadinya.

Niat asal mahu simpan dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tidak mahu ‘sentuh’ langsung tetapi bila duit sudah di tangan semua sudah gelap mata.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh, dalam grup WhatsApp kawan-kawan sekolah penulis, ramai berkongsi keterujaan semakin bersinar-sinar dapat merasa wang hasil titik peluh sendiri dengan membeli barang kemas, perabot dan ada membeli motosikal idaman.

Simpanan

Lebih memeranjatkan, media semalam melaporkan seorang lelaki ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Jeli kerana overdose pil kuda yang dibeli menggunakan duit i-Sinar.

Jika sebelum ini penagih itu hanya menelan sebiji pil kuda setiap kali pengambilan tapi dek kerana ada ‘rezeki terpijak’, dia sakan joli pil kuda lapan biji sekali telan.

Wang i-Sinar yang sepatutnya digunakan semasa sesak disalah guna dan habis dijoli umpama ‘tiada hari tua’ walaupun diri tiada simpanan kecemasan.

Walaupun wang itu adalah hak individu, tetapi tujuan pihak KWSP membenarkan pengeluaran adalah untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup menghadapi pandemik Covid-19.

Mohd Afzanizam dalam laporan di akhbar ini juga telah berkongsi 10 cara bijak berbelanja i-Sinar yang mendatangkan keuntungan jangka masa panjang.

10 perkara yang disaran dilakukan terhadap pengeluaran wang persaraan itu adalah bayar hutang, berniaga, simpan dalam ASB, beli barang keperluan pendidikan dan sediakan tabung kecemasan, mengambil kursus menceburi bidang yang disukai dan membeli emas untuk pelaburan jangka masa panjang.

Selain itu, wang tersebut digunakan untuk tampung kos sara hidup, beli barang keperluan kerja dan beli barang peribadi dalam kadar yang munasabah.

Bagi yang ghairah menukar i-Sinar dengan membeli barang kemas, jika tidak cukup dana kecemasan dibimbangi akan menanggung rugi.

Ini kerana menurut pakar hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad, jika bercakap mengenai masa terbaik beli emas ialah apabila ada wang ‘lebihan’ daripada dana kecemasan yang telah dikumpul sebanyak amaun gaji tiga hingga enam bulan.

Emas perhiasan biasanya akan susut nilai sehingga 30 peratus jika dijual dalam masa singkat. Lebih parah jika terbelenggu hutang pajak gadai.

Justeru penulis menasihatkan pencarum agar jangan terlalu ghairah joli wang berkenaan, sebaliknya buat persediaan bagaimana mengembangkan duit berkenaan untuk jangka masa panjang.

* Nurkhairini Jumari ialah Web Editor Sinar Harian Online