MFL gesa perkemas SOP minggu pertama Liga-M

MFL komited memastikan kelancaran penganjuran saingan Liga-M musim ini. - Foto FB MFL
MFL komited memastikan kelancaran penganjuran saingan Liga-M musim ini. - Foto FB MFL
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan bahawa terdapat beberapa kelemahan terutamanya mengenai pengurusan prosedur operasi standard (SOP) dalam minggu pertama penganjuran Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada setiap pasukan untuk memperbaiki kelemahan tersebut dalam usaha memastikan saingan liga berjalan dengan lancar.

“Semuanya berjalan dengan baik. Tetapi ada beberapa kelemahan kecil yang perlu diperbaiki. Kita juga sudah memaklumkan kepada pasukan untuk memastikan bahawa kelemahan ini dapat diatasi agar liga kita dapat berjalan dengan lancar.

“Namun, di pihak MFL kami tetap berpuas hati dengan kelancaran liga setakat ini selain mengharapkan disiplin dalam kalangan setiap pemain dan pegawai pasukan terutama dalam mematuhi SOP,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Saingan Liga-M yang membuka tirainya pada Jumaat menyaksikan perjalanan liga berlangsung dalam norma baharu dengan berasaskan kepada gelembung sukan seperti yang telah ditetapkan kerajaan.

Enam aksi Liga Super termasuk perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman (KDA) FC selain lima aksi Liga Premier berlangsung pada minggu pertama.

Dalam pada itu, Ab Ghani turut menyifatkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai kehadiran penyokong ke stadium memberikan petanda positif kepada Liga-M.

“Berkemungkinan besar perkara ini (kedatangan penonton ke stadium) telah diberikan perhatian melihatkan kepada keadaan semasa Covid-19 di negara ini. MFL melihat ini kenyataan amat baik oleh menteri dan kemungkinan penyokong dapat dibenarkan masuk mengikut peratusan tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan terus melakukan rundingan dengan KBS dalam soal kedatangan penonton ini kerana mereka adalah perantara badan sukan dengan pihak kerajaan terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) semasa Covid-19 ini,” ujarnya.

Terdahulu, Reezal Merican dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya menjelaskan bahawa KBS sedang berusaha untuk membolehkan penyokong kembali ke stadium secara berperingkat.

“Kita rindu sorakan pembakar semangat mereka pada setiap kali perlawanan diadakan. Betul tak? Insya-ALLAH tak lama lagi. Saya pun tak dapat menghayati perlawanan kalau tengok bola tak ada penyokong,” katanya.