Berniaga dari rumah sambil jaga anak

Nor Syamira Nabila mampu menyediakan 2,000 biji tauhu begedel seminggu untuk menampung permintaan pelanggan.
Nor Syamira Nabila mampu menyediakan 2,000 biji tauhu begedel seminggu untuk menampung permintaan pelanggan.
A
A
A

ALOR SETAR - Menjalankan perniagaan di rumah sambil membesarkan dua anak yang masih kecil bukanlah perkara mudah.

Namun, demi membantu kewangan keluarga, Nor Syamira Nabila Jaafar, 30, tidak meletakkan anak-anak sebagai penghalang untuknya berjaya.

Memulakan perniagaan Tauhu Bergedel Meqecik AOR pada penghujung tahun 2018, Nor Syamira Nabila berkata, idea untuk aktif menjual tauhu itu timbul selepas mendapat permintaan daripada beberapa rakannya.

Katanya, pada mulanya dia hanya menyediakan menu itu untuk dinikmati oleh ahli keluarga dan memuatnaik gambar hidangan itu di laman Facebooknya.

“Saya memang suka berkongsi apa sahaja yang saya masak bersama rakan di media sosial, namun posting tauhu bergedel saya itu mendapat respon daripada kawan-kawan yang berminat untuk membeli tauhu berkenaan.

“Bermula dari situ, saya terfikir kenapa tidak teruskan sahaja alang-alang sambutan yang diterima menggalakkan,” katanya.

Menurutnya, pada awal pembabitannya dalam jualan tauhu bergedel itu, menu berkenaan baharu saja dikenali.

“Kadangkala makanan viral ni sekejap saja orang cari, tetapi Alhamdulillah mungkin ini semua rezeki daripada ALLAH SWT, tauhu saya masih mendapat permintaan sehingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang saya perlu menyediakan kira-kira 2,000 biji tauhu iaitu bersamaan dengan 70 kilogram kentang dalam seminggu untuk menampung permintaan pelanggan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai cabaran dihadapinya, Nor Syamira Nabila berkata, seorang wanita akan meletakkan penatnya di belakang manakala keluarga dan anak akan menjadi keutamaan.

“Saya ada dua orang anak iaitu Ali Jaafar, 4 tahun dan Dhuha Annur 10 bulan. Alhamdulillah dia sudah faham rutin kerja saya cuma yang bongsu itu masih perlu perhatian sepenuhnya daripada saya.

“Mujur ibu (Noraini Mansor, 66) dan suami (Mohd Khairilasraf Baharudin, 30) selalu membantu saya ketika menyediakan stok,” katanya.

Nor Syamira Nabila dibantu oleh anak saudaranya, Muhammad Afiq Haikal Azhar, 20
Nor Syamira Nabila dibantu oleh anak saudaranya, Muhammad Afiq Haikal Azhar, 20