X

Kindly register in order to view this article
!

Mengharungi cuaca panas

A
A
NEGARA kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021. Dalam tempoh ini, taburan hujan di beberapa kawasan adalah rendah di Semenanjung Malaysia terutama di utara Semenanjung yang mengakibatkan suhu panas dan kering.

Cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kita kerap berpeluh dan menyebabkan cecair dalam tubuh berkurangan, terutama ketika terdedah kepada aktiviti luar yang terbuka dalam jangka masa lama. Faktor ini dipengaruhi oleh keadaan pekerjaan, aktiviti fizikal dan beban kerja selain kumpulan umur dan kecergasan individu.

Perokok merupakan antara golongan berisiko tinggi dan paling mudah terkesan. Ini disebabkan nikotin dalam rokok bukan sahaja menyebabkan perokok terdedah kepada jangkitan paru-paru, malah menjadikan tubuh mudah ternyahhidrat (dehidrasi) kerana bahan kimia dalam rokok meningkatkan penggunaan air dalam tubuh.

Cuaca panas dan kering yang berpanjangan berpotensi memberi impak negatif terhadap kesihatan. Pada 17 Ogos 2018, direkodkan seramai 61 peserta kursus pemilihan Unit Tindakan Khas yang sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa Kuala Kubu Bharu, dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba.

Apabila kepanasan dirasai badan, secara automatik ia akan menjalankan proses mekanisme penyejukan semula jadi tubuh bagi menurunkan suhu badan ke paras normal. Walaupun proses ini normal, sekiranya berterusan, tubuh tidak lagi mampu untuk menyejukkan diri dan mula ke tahap kepanasan melampau sehingga menyebabkan kandungan air dalam badan semakin berkurangan sehingga berpotensi memudaratkan kesihatan.

Sebahagian besar masyarakat menganggap cuaca panas hanya mengakibatkan demam semata-mata, namun kesannya lebih daripada itu. Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh. Kesan kesihatannya pelbagai, daripada sederhana kepada akut seperti strok haba yang menyebabkan maut. Antara kesan ketara kepada tubuh adalah sakit kepala berdenyut, mual, berpeluh berlebihan dan denyutan nadi yang pantas.

Tanda-tanda lain termasuk otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam. Suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada mereka yang menghidapi penyakit tertentu seperti darah tinggi.

Kesan

Bagi mengelak kesan negatif terhadap kesihatan, kita perlu mengurangkan aktiviti luar selain digalakkan minum air antara 2-3 liter supaya tubuh tidak mengalami dehidrasi. Jumlah keperluan air adalah bergantung kepada jantina, faktor cuaca dan usia seseorang.

Praktikkan minum air dalam jumlah sedikit secara kerap iaitu 250ml setiap 15-20 minit terutama jika bekerja dalam keadaan panas seperti kontraktor, petani, atau bekerja di dalam keadaan ventilasi yang tidak memuaskan. Elak daripada mengambil minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi.

Hal ini kerana, minuman yang mengandungi kafein bersifat diuretik yang membuatkan kita membuang air kecil dengan lebih kerap.

Elak berada di kawasan atau ruang tertutup mempunyai pengudaraan kurang baik dan bersuhu tinggi. Mandilah dengan lebih kerap serta menggunakan kipas atau pendingin hawa untuk menurunkan suhu badan. Bagi menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi, pakai pakaian yang longgar dan diperbuat daripada kapas bagi penyejatan peluh yang maksimum, selain memakai topi atau payung kerana lebih 40 peratus kehilangan haba berlaku di bahagian kepala.

Paling penting, elak daripada meninggalkan bayi, kanak-kanak atau warga emas di dalam kereta tanpa pendingin hawa dalam tempoh yang lama di bawah sinar matahari. Perkara ini berlaku kerana apabila kereta diletakkan di bawah matahari, suhu dalam kereta boleh meningkat 20 darjah dalam masa hanya 10 minit. Faktor ini adalah punca kematian yang berkaitan dengan haba pada kanak-kanak.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!