MHL 2021: Peluang pemain tempatan pamer bisa

Mohamad Akhimullah (kiri) kembali menyarung jersi THT musim ini.
Mohamad Akhimullah (kiri) kembali menyarung jersi THT musim ini.
A
A
A

MENGHARUNGI saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang akan membuka tirai Khamis ini tanpa pemain import bukan menjadi kekurangan buat Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Sebaliknya, Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, tanpa kehadiran pemain import ia memberi peluang terbaik kepada pemain tempatan untuk menyerlah dan membuktikan kemampuan mereka.

“Sememangnya ia satu peluang buat pemain tempatan untuk bermain bersungguh-sungguh. Sebab itu kita panggil balik pemain Terengganu yang sebelum ini bermain dengan pasukan TNB seperti Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Syarman Mat Tee untuk bersama-sama dengan kita musim ini.

“Ia juga membuka peluang kepada pemain muda untuk lebih menonjol. Kita pertaruhkan enam orang atlet Sukan Malaysia (Sukma) untuk bermain liga dan ia adalah satu pelaburan besar yang mana kita berani pertaruhkan pemain-pemain muda ini,” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu pada Isnin.

Pada masa sama, Mohd Fikri berkata, situasi pasukan tanpa pemain import musim ini susulan pandemik Covid-19 akan memberi peluang seimbang kepada semua pasukan bertanding.

“Bukan kita sahaja ada isu pernyertaan pemain import, semua pasukan berhadapan perkara sama. Jadi, kekuatan semua pasukan untuk tahun ini adalah seimbang,” ujarnya.

Mohd Fikri turut mengumumkan THT menerima penajaan keseluruhan kira-kira RM200,000 dari pelbagai pihak dan syarikat bagi menghadapi saingan liga musim ini.

“Tajaan ini menyeluruh bukan sahaja daripada segi kewangan. Ada yang menaja fasiliti seperti tajaan penginapan sepanjang menjalani latihan, tajaan minum untuk perlawanan dan latihan serta tajaan pengangkutan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: