X

Kindly register in order to view this article
!

Hapuskan mitos ubat hospital punca buah pinggang rosak

Ubat yang telah dipreskripsikan oleh doktor biasanya telah menjalani kajian yang mendalam bagi mengetahui dos yang selamat, berserta kesan sampingan serta interaksinya dengan ubatan lain. - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Masih ada segelintir masyarakat yang berpegang kepada kepercayaan bahawa mengambil ubat-ubatan yang diberi oleh hospital dalam tempoh yang panjang akan menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Justeru ada kalangan pesakit yang bertindak berhenti daripada mengambil ubat yang dibekalkan pihak hospital untuk merawat penyakit mereka dan memilih untuk mengambil ubat alternatif termasuk suplemen yang tidak diketahui kandungan bahan serta kesan sampingan yang ada di dalamnya.

Pakar Perunding Nefrologi, Pusat Perubatan Sultan Ahmad [email protected], Dr Wan Ahmad Syahril Rozli Wan Ali berkata, adalah satu pemahaman yang salah daripada orang awam yang apabila terdapat keperluan untuk mengambil ubat-ubatan, dikaitkan pula dengan ubatan itu sendiri yang akan merosakkan buah pinggang.

"Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah ubatan moden yang boleh menjejaskan fungsi buah pinggang contohnya ubat penahan sakit seperti 'Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs' (NSAIDs) dan juga ubatan-ubatan lain seperti antibiotik tertentu.

"Namun begitu kesemua ubat yang telah dipreskripsikan oleh doktor seperti ubat untuk kencing manis, darah tinggi dan juga penyakit kronik yang lain biasanya telah menjalani kajian yang mendalam bagi mengetahui dos yang selamat, berserta kesan sampingan serta interaksinya dengan ubatan yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebaliknya Dr Wan Ahmad Syahril berkata, walaupun di Malaysia tiada kajian secara menyeluruh yang menyatakan bahawa pengambilan suplemen akan menjejaskan fungsi buah pinggang, namun ketika melaksanakan rawatan dan tugasan seharian, pihaknya kerap menemukan kes-kes pesakit yang mengalami masalah buah pinggang setelah pesakit tersebut mengambil suplemen dari luar.

Malah ada sebahagian daripada pesakit tersebut yang langsung tidak mempunyai apa-apa risiko kegagalan buah pinggang, sebelum pengambilan suplemen tersebut, katanya.

“Kebanyakan suplemen yang dijual di pasaran tidak mempunyai kajian menyeluruh tentang kesan sampingan serta interaksinya dengan ubatan lain. Kadangkala, bahan pengawet yang digunakan dalam ubatan suplemen tersebut juga boleh menimbulkan masalah terhadap fungsi buah pinggang," kata beliau.

Dr Wan Ahmad Syahril berkata, mengikut statistik pendaftaran dialisis dan pemindahan buah pinggang di Malaysia pada Tahun 2018, terdapat sejumlah 8,431 pesakit dialisis baharu dengan seramai 44,136 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis disebabkan kegagalan buah pinggang.

Katanya, pesakit buah pinggang di Malaysia merangkumi 55 peratus daripada golongan lelaki dan 45 peratus kaum wanita dengan majoriti daripada mereka berumur 55 tahun dan ke atas.

"Menurut statistik punca utama kegagalan buah pinggang di Malaysia adalah disebabkan penyakit kencing manis, iaitu sebanyak 69 peratus, yang makin meningkat peratusannya dari tahun ke tahun," katanya sambil menambah mereka yang mengamalkan gaya hidup merokok juga berisiko mengalami kerosakan buah pinggang.

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat kebangsaan akan diadakan pada 13 Mac dengan tema 'Hidup Sejahtera Dengan Penyakit Buah Pinggang'. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!