KBS bentang protokol pengurusan penonton di stadium minggu depan

Reezal Merican hadir ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu lalu. - Foto FB Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican hadir ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu lalu. - Foto FB Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan membentangkan protokol pengurusan penonton kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan untuk mendapatkan kebenaran kehadiran penyokong bola sepak ke stadium.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis penyokong dapat kembali menyaksikan aksi pasukan kegemaran masing-masing dalam masa terdekat jika pihaknya dapat meyakinkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung protokol tersebut.

Beliau berkata, keyakinan itu hadir selepas melihat pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan konsep gelembung sukan pada aksi minggu pertama Liga-Malaysia (Liga-M) hujung minggu lalu.

Sebagai permulaan, Reezal Merican berkata, ia akan dilaksanakan di satu atau dua stadium sebelum diperluaskan ke stadium-stadium lain yang menjadi venue saingan Liga-M.

"Sudah tentu ia memerlukan satu SOP yang lengkap. KBS dah sediakan SOP itu, kita akan perhalusi mekanismenya bersama MFL pada Khamis ini sebelum dibawa ke MKN.

"Untuk peringkat awal, kita cadangkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kapasiti sebenar stadium atau 4,000 orang, yang mana rendah. Penetapan jumlah penonton ini bergantung kepada keadaan stadium terlibat seperti jumlah pintu masuk dan kapasiti," katanya ketika ditemui pemberita di Menara KBS di Putrajaya pada Isnin.

Reezal Merican berkata, setelah kerajaan memberi kebenaran untuk acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta kehadiran ke pawagam yang mempunyai keadaan lebih sempit berbanding stadium, pihaknya yakin penyokong bola sepak juga bakal mendapat perkhabaran gembira.

"Kita juga lihat pelaksanaan di negara lain seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) menggunakan sistem tier, Korea Selatan dan Thailand membenarkan 25 peratus (dari kapasiti stadium), paling tinggi di Victoria State Australia sebanyak 50 peratus, manakala Itali seramai 500 orang. Jadi saya fikir 4,000 penonton adalah pada kadar pertengahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kempen Liga-M 2021 membuka tirai Jumaat lalu apabila juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut menerusi kemenangan 2-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, dalam suasana norma baharu.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mungkin membenarkan kehadiran penonton di stadium pada skala kecil secara berperingkat apabila kes Covid-19 di negara ini dapat diturunkan.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, kebenaran khas akan diberikan kepada atlet yang perlu ke luar negara untuk menyertai kejohanan atau latihan sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan timbang kemasukan penonton ke stadium