KASA terima aduan gangguan bekalan air di Baling

Penduduk di Baling dilaporkan berdepan gangguan bekalan air berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Penduduk di Baling dilaporkan berdepan gangguan bekalan air berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
A
A
A

KULAI - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menerima aduan daripada penduduk di Baling, Kedah berhubung gangguan bekalan air berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, aduan itu diterima sejak awal bulan lalu dan setakat ini hanya kawasan berkenaan dilaporkan terjejas.

“Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) akan terus menghantar bekalan air dengan segera kepada penduduk terjejas melalui lori-lori tangki yang dihantar terus ke kediaman mereka.

“Untuk kawasan lain, kita setakat ini belum mendapat aduan, namun syarikat-syarikat air negeri akan sentiasa memantau supaya bekalan air dapat dihantar kepada penduduk,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek pertama Wakaf Air kepada penduduk di Kampung Melayu, Seelong, Senai di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kementerian mempunyai beberapa pelan kontingensi, termasuk memperbanyakkan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di seluruh negara untuk memastikan rakyat tetap mempunyai bekalan air walaupun musim panas itu dijangka berlarutan.

"Fokus kita adalah untuk membina TAPS ini di kawasan berhampiran dengan Loji Rawatan Air supaya kos rawatan air itu lebih jimat berbanding dengan mengambil terus air dari sungai.

"Pada masa sama, kementerian juga sedang membangunkan suatu mekanisme penggredan air mengikut pelbagai kategori bagi membolehkan air yang lebih berkualiti dijual pada kadar harga yang berpatutan kepada syarikat pembekal,” katanya.

Tambah beliau, penggredan air itu perlu dilakukan kerana buat masa ini, hanya terdapat satu kategori gred air, yang menyebabkan syarikat atau operator air membayar kos air kepada kerajaan negeri dengan kadar rendah.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kalau kita berjaya gredkan air dengan kategori-kategori tertentu, ia boleh dijual dengan harga sekali ganda dan dengan cara ini, kerajaan negeri bukan sahaja dapat hasil lebih daripada jualan air namun akan dapat memantau sumber air dengan lebih baik,” katanya yang menjangkakan mekanisme dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini.

Mengenai projek Wakaf Air yang dilancarkan 17 Disember lepas, beliau berkata, ia merupakan satu daripada lima projek yang dirancang untuk penduduk yang mengalami masalah bekalan air tidak terawat.

Katanya, empat lagi projek akan diserahkan kepada penerima selewat-lewatnya sehingga April ini meliputi kira-kira 200 penerima di Selangor, Pahang (100), Negeri Sembilan (200) dan sebuah surau di Perak. - Bernama