'Jika musuh pegang senjata bunuh mereka'

Rodrigo Duterte - Foto Agensi
Rodrigo Duterte - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Ucapan kontroversi Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Jumaat lalu dianggap sebagai tiket oleh anggota keselamatan untuk membunuh individu disyaki pemberontak.

Semasa pertemuan dengan pasukan Petugas Nasional Untuk Mengakhiri Konflik Bersenjata Komunis Tempatan (NTF-ELCAC) dan kumpulan Wilayah X di Misamis Oriental, Duterte mengeluarkan arahan 'tembak dan bunuh' terhadap suspek pemberontak Mao.

"Adakah anda fikir saya benarkan mereka (pemberontak) menggulingkan pemerintahan?

"Itulah sebabnya saya mengingatkan polis dan tentera, jika musuh memegang senjata, bunuh mereka.

"Abaikan hak asasi manusia. Biar saya yang masuk penjara, tiada masalah," ujar Duterte.

Dalam tempoh 48 jam selepas ucapan Duterte, pasukan polis yang disokong tentera membunuh sembilan individu dalam serbuan di beberapa lokasi di Cavite, Laguna, Batangas dan Rizal.

Jurucakap NTF-ELCAC, Leftenan Jeneral Antonio Parlade mempertahankan pembunuhan melebihi batas undang-undang itu sebagai operasi penguatkuasaan yang sah.

Ujarnya, semua yang terbunuh dikaitkan dengan pemberontak Mao dan terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jurucakap kumpulan hak asasi Karapatan di wilayah Calabarzon, Cristina Palabay berkata, kebanyakan yang dibunuh adalah anggota parti politik dan kesatuan pekerja.

Dakwa beliau, satu pasangan yang mengetuai kumpulan nelayan ditembak oleh polis sambil anak mereka yang berusia 10 tahun memerhati kejadian itu ketika bersembunyi di bawah katil. - Agensi