Enam beradik dihantar ke rumah perlindungan JKM

Enam kanak-kanak tiba di Mahkamah Majistret Tumpat diiringi pegawai JKM menaiki kenderaan jabatan itu dari rumah nenek mereka di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN
Enam kanak-kanak tiba di Mahkamah Majistret Tumpat diiringi pegawai JKM menaiki kenderaan jabatan itu dari rumah nenek mereka di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN
A
A
A

TUMPAT - Mahkamah Majistret di sini pada Isnin memerintahkan enam beradik yang didakwa terabai di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak di Pahang.

Perintah dikeluarkan Majistret Ahmad Armi Najamuddin Azmi berkuat kuasa pada Isnin sehingga 27 April depan.

Perintah jagaan sementara tersebut dibuat mengikut Seksyen 19(2) Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan 2016).

Permohonan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diwakili Penolong JKM Tumpat, Muhammad Zulfikar Maula Abdul Rahman.

Sementara itu, pekarangan mahkamah diselubungi pilu apabila beberapa ahli keluarga termasuk nenek mereka yang berusia 54 tahun memeluk enam beradik berusia enam bulan sehingga 12 tahun itu sebelum bertolak ke Pahang menaiki kenderaan JKM.

Ketika di luar mahkamah, Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, enam kanak-kanak itu selesai menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Pahang pada petang Isnin.

“Permohonan dibuat bagi menjaga kebajikan mereka. Siasatan diteruskan oleh JKM bagi menyiapkan laporan berkaitan keluarga berkenaan.

“Perintah selanjutnya akan diputuskan oleh mahkamah pada tarikh 27 April nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kisah enam kanak-kanak terdiri daripada dua perempuan dan empat lelaki itu tular di media sosial apabila kakak sulung berusia 12 tahun dikatakan terpaksa menjaga adik-adiknya yang berusia 10, enam, lima dan dua tahun serta seorang bayi berusia enam bulan.

Ia dikatakan berlaku selepas bapa mereka ditahan polis pada 5 Februari lalu, manakala ibu mereka pula menyerah diri kepada Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Tumpat pada Ahad, kedua-duanya berkaitan kes dadah.