Selangor beri bantuan RM500 untuk pemilik rumah terjejas akibat ribut

Amirudin ditemui pemberita ketika meninjau unit rumah yang terjejas akibat ribut itu di apartmen Dahlia Court, Sepang pada Isnin.
Amirudin ditemui pemberita ketika meninjau unit rumah yang terjejas akibat ribut itu di apartmen Dahlia Court, Sepang pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Seramai 120 mangsa ribut di dua mukim iaitu Labu dan Bandar Baru Salak Tinggi di sini yang terjejas akibat ribut pada Sabtu bakal menerima bantuan bencana secara 'one-off' sebanyak RM500.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Urus Setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk membuat kiraan dan bantuan yang diperlukan.

Menurutnya, selain menerima bantuan bencana daripada kerajaan negeri Selangor, pihaknya akan mempertimbangkan penambahbaikan lain jika perlu.

“Pemilik rumah yang terkesan akan diberikan bantuan bencana sebanyak RM500 secara 'one-off'.

“Di samping itu, kita akan melihat apa penambahbaikan dan bantuan yang boleh kita hulurkan. Kalau boleh saya harap mereka akan mendapat bantuan tersebut dalam masa seminggu,” katanya ketika meninjau unit rumah yang terjejas akibat ribut itu di apartmen Dahlia Court di sini pada Isnin.

Amirudin berkata, pihak pengurusan apartmen juga memaklumkan akan menggunakan insurans untuk mendapatkan wang ganti rugi.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya proses pembayaran insurans mengambil masa yang lama, berkemungkinan kerajaan negeri akan mendahulukan wang tersebut sebelum mendapat wang insurans.

“Biar pihak majlis mengambil data kerosakan dan kita akan selaraskan sama ada agensi kerajaan atau kerajaan negeri yang akan mengambil inisiatif untuk membantu kurangkan beban pemilik rumah serta apartmen yang terjejas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Amirudin berkata, berhubung kerosakan yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, pihaknya akan meminta bantuan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang untuk membantu dari segi kemudahan asas yang terjejas.

“Kerajaan negeri akan melihat apa yang boleh dibantu berkenaan taska dan kemudahan berhampiran dewan yang musnah akibat ribut,” katanya.

Pada Sabtu, sebanyak 120 rumah di mukim Bandar Baru Salak Tinggi dan Labu termasuk Taman Seroja, Taman Dahlia, apartmen Seroja Hills, apartmen Dahlia Court, apartmen Taman Dahlia, Kampung Baru Salak, Kampung Salak Tengah dan Kampung Lembah Paya terjejas akibat hujan lebat serta angin kencang di sekitar Putrajaya.

Turut terjejas ialah empat sekolah dan sebuah tadika perpaduan di sekitar kawasan itu.

Dalam kejadian itu, beberapa kenderaan penduduk turut rosak akibat ditimpa sisa bumbung dan pokok tumbang.

Kabin yang dijadikan pejabat badan pengurusan bersama (JMB) turut terbalik akibat dipukul ribut berkenaan.