Putera Mahkota Arab Saudi sambut Muhyiddin di Riyadh

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
A
A
A

RIYADH - [DIKEMASKINI] Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdul Abdulaziz Al-Saud secara peribadi akan menyambut kedatangan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di sini pada Isnin.

“Ia bukan dalam jadual asal. Yang Mulia Putera Mahkota sendiri membuat keputusan itu,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada media Malaysia di sini.

“Seluruh lapangan terbang akan ditutup kerana Yang Mulia Putera Mahkota ingin menyambut Perdana Menteri di sana,” katanya.

Muhyiddin kini memasuki hari ketiga lawatan rasmi empat hari beliau ke Arab Saudi.

Muhyiddin dijadual tiba di lapangan terbang antarabangsa itu pada jam 6.30 petang Isnin waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia).

Beliau akan tiba dari Madinah selepas mengunjungi Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Rasulullah.

Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang memulakan lawatan rasmi Sabtu lalu tiba di Makkah untuk menunaikan umrah dan diberi peluang memasuki Kaabah.

Lawatan rasmi tersebut atas undangan Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin tunai umrah

PM tiba di Jeddah mulakan lawatan rasmi

Lawatan tersebut antara lain bertujuan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi, inovasi dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

"Pada hakikat, Arab Saudi menjemput Perdana Menteri untuk lawatan itu adalah satu kejayaan besar memandangkan hubungan dua hala kita tidak berada di tahap yang kita inginkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata Hishammuddin.

Hishammuddin bagaimanapun tidak menghuraikan apa yang mendorong kepada situasi tersebut tetapi ia dilaporkan secara meluas oleh media bahawa ia mempunyai kaitan dengan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan pendirian Malaysia menarik balik anggota tentera ditempatkan di negara berkenaan pada tahun 2018.

“Membetulkan semula keadaan bermula setahun lalu. Banyak kerja telah dilakukan dan cabaran terbesar adalah untuk membina kepercayaan dan keikhlasan.

“Melangkah ke hadapan, kita perlu mengekalkan momentum...kejayaan datang daripada fakta bahawa kami diterima oleh Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya tidak boleh mengabaikan kepentingan mengadakan hubungan baik dengan Riyadh.

Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan Raja Salman secara maya dari Istana Al-Yamamah di sini pada Selasa.

Hishammuddin berkata, baginda berusia 85 tahun itu tidak pernah berkenan bertemu pemimpin asing secara bersemuka sejak tercetus pandemik Covid-19.

“Oleh itu, mengadakan mesyuarat secara maya sudah dianggap luar biasa,” katanya,.

Perdana Menteri juga akan bertemu Putera Mohammed yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan di istana berkenaan sebelum mengakhiri lawatan rasmi tersebut.

Muhyiddin seterusnya akan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke UAE sehingga Khamis ini. - Bernama