X

Kindly register in order to view this article
!

Tingkat hubungan Arab Saudi-Malaysia melalui HLSC: Zulkifli

Zulkifli (kanan) semasa ditemubual secara langsung bersama Al-Ekhbariya TV, Arab Saudi. - Foto FB Datuk Dr Zulkifli Mohamad al- Bakri
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menekankan bahawa terdapat keperluan meningkatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi melalui Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi (HLSC).

“Hubungan erat yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara perlu ditingkatkan lagi dalam pelbagai bidang termasuk agama, ekonomi, perdagangan dan lain-lain lagi.

“Lawatan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ke Arab Saudi akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dan memberi manfaat bersama dari sudut ekonomi, haji, umrah, sains, teknologi dan pendidikan,” katanya dalam program temu bual bersama Saudi TV bersempena lawatan itu pada Ahad.

Dalam program itu juga, Zulkifli turut memuji inisiatif Makkah Road yang dilancarkan Arab Saudi bagi memudahkan urusan ibadah haji bagi jemaah haji Malaysia.

Malaysia merupakan negara terawal yang dipilih Arab Saudi untuk menyertai inisiatif itu, selain Indonesia.

Zulkifli turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atas semua usaha dan sumbangan terhadap dunia dan umat Islam sejagat.

Pada Sabtu lalu, Muhyiddin berlepas ke Arab Saudi untuk lawatan rasmi selama empat hari bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!