X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki mabuk mengamuk, tikam warga emas hingga mati

Gambar hiasan.
A
A

KULAI - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan menikam seorang warga emas hingga mati dengan sebilah pisau di sebuah homestay di Jalan Pinang, Taman Kota di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan semasa duduk di kaki lima sebuah kedai di Jalan Pinang 1 pada jam 4.15 petang.

"Tangkapan ini dilakukan selepas menerima aduan daripada seorang lelaki pada jam 3.55 petang berhubung satu pergaduhan bersenjatakan pisau di sebuah homestay di taman berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Kulai pergi ke tempat kejadian dan menjumpai mangsa berusia 78 tahun dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan tikaman," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah mengamuk dan bertindak menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.

Menurutnya, pegawai dan anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut hadir di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan akibat ditikam pada bahagian perut," katanya.

Beliau berkata, suspek diberkas bersama-sama sebilah pisau digunakan dalam kejadian tersebut selain merampas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di homestay berkenan bagi membantu siasatan.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa melakukan perbuatan tersebut.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini (Isnin) selepas mendapat kebenaran Majistret Maleeha Syed Hussin.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!