Putera Harry, Meghan Markle bongkar rahsia

Meghan bersama Harry ketika wawancara dari hati ke hati bersama Oprah Winfrey yang disiarkan secara khas oleh CBS pada Ahad. - Foto: Agensi
Meghan bersama Harry ketika wawancara dari hati ke hati bersama Oprah Winfrey yang disiarkan secara khas oleh CBS pada Ahad. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW YORK - Putera Harry bersama isterinya, Meghan Markle akhirnya membongkar rahsia yang tersimpan selama hampir empat tahun sebelum pasangan terbabit membuat keputusan untuk melepaskan keistimewaan keluarga diraja Britain menerusi wawancara bersama hos terkenal, Oprah Winfrey.

Sesi bual bicara khas berdurasi selama dua jam yang disiarkan CBS pada Ahad itu turut membicarakan tentang pelbagai topik kontroversi termasuk isu rasisme, kesihatan mental dan hubungan Duke dan Duchess of Sussex itu bersama media di United Kingdom (UK) dan keluarga diraja.

Meghan, 39, mendedahkan beliau mendapati kehidupan dalam keluarga diraja amat sukar hingga bekas aktres Amerika itu pernah terfikir untuk 'membunuh diri' gara-gara sering mendapat gambaran negatif daripada media di UK.

Menurutnya, beliau juga berdepan tekanan melampau dan pernah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan bantuan doktor berkaitan kesihatan mental, namun tidak dibenarkan keluarga diraja kerana bimbang ia akan menjejaskan imej mereka.

Menerusi pendedahan berani itu, Meghan juga menyatakan agak tersinggung apabila ada kerabat diraja yang sengaja mempersoalkan warna kulit Archie kepada suaminya, Harry ketika beliau sedang hamil.

Wawancara yang semakin panas itu bagaimanapun diredakan dengan pendedahan jantina bakal cahaya mata kedua mereka.

"Ia adalah perempuan," kata kedua-duanya dengan gembira.

Dalam program itu, Putera Harry, 36, juga mendedahkan hubungan dingin bersama bapanya, Putera Charles selepas beliau membuat keputusan untuk meninggalkan istana.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah melakukan sehabis baik untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga diraja," ujar pewaris keenam takhta Britain itu.

Pada Isnin, media di UK menyelar wawancara tersebut kerana ia dijangka merosakkan reputasi keluarga diraja Britain.

Editor diraja ITV, Chris Ship dengan sinis menyatakan pasangan terbabit seakan-akan menggunakan jet pengebom B-52 yang diterbangkan di ruang udara Istana Buckingham sebelum mengebomnya.

Ketika ini, Istana Buckingham berdepan dua persoalan serius iaitu dakwaan Meghan tentang kenyataan berbaur rasis terhadap warna kulit anaknya dan kegagalan pihak istana memberikan sokongan ketika wanita itu mahu membunuh diri. - AFP