PRU15: Comwel cadang kuota 67 kerusi calon wanita

Zuraida (dua dari kanan) ketika pelancaran Comwel pada Isnin.
Zuraida (dua dari kanan) ketika pelancaran Comwel pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menetapkan kuota sebanyak 67 kerusi Parlimen untuk calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengasas Comwel, Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, cadangan tambahan kerusi untuk wanita itu bagi mencapai sasaran penyertaan 30 peratus wanita dalam Parlimen.

"Inisiatif yang akan kita buat ialah mencadangkan kepada Pengerusi SPR untuk mempertimbangkan kerusi untuk wanita dalam pilihan raya akan datang.

"Ia tidak sukar untuk dilakukan kerana kita hanya perlukan 30 peratus daripada 222 keseluruhan kerusi Parlimen atau 67 kerusi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Comwel yang disempurnakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang juga Penaung Comwel di sini pada Isnin.

Pada majlis sama, buku tulisan Zuraida bertajuk 'Wanita Berdaya, Harapan Negara' turut dilancarkan.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, cadangan itu akan dihantar secepat mungkin untuk tindakan SPR.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat berikutan pembabitan kaum wanita dalam politik di negara ini jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita berada di belakang Indonesia, Thailand dan negara-negara lebih mundur lain dari segi pencapaian politik wanita dalam negara.

"Memandangkan Malaysia negara yang akan maju dan sedang membangun, jadi kita harus letakkan lebih ramai wanita dalam kedudukan membuat keputusan, khususnya dalam Parlimen dan juga Kabinet dalam negara," katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, Comwel ditubuhkan bagi menghimpunkan kepimpinan wanita Malaysia dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan wanita dan pengarusperdanaan gender secara sistematik dan holistik.

Beliau berkata, Comwel merupakan satu pertubuhan yang bergerak melangkaui batasan politik dan dianggotai oleh pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang politik, agama dan bangsa.

"Keanggotaan Comwel juga terbuka kepada semua wanita termasuk pemimpin wanita daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perkhidmatan awam dan sektor swasta," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan yang akan dihantar Comwel, Azhar Azizan berkata, walaupun kerajaan mempunyai kekangan perlembagaan dan perundangan untuk melaksanakan cadangan itu tetapi terdapat langkah lain boleh dilakukan.

"Perwakilan wanita di dalam Dewan Rakyat boleh ditambah baik kerana sekarang hanya ada 14 peratus atau 33 ahli Parlimen wanita sahaja.

"Langkah-langkah tambahan yang boleh dibuat kerajaan ialah dengan memberikan insentif kepada parti politik yang mencalonkan lebih ramai wanita," katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh memberikan insentif kepada parti politik, umpamanya dalam bentuk kewangan untuk pembangunan wanita parti politik berkenaan dan ia boleh dilaksanakan segera.

-end-