Kadar pengangguran meningkat sedikit pada Januari

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar pengangguran pada Januari 2021 meningkat sedikit kepada 4.9 peratus berbanding 4.8 peratus pada Disember 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh atau tenaga kerja juga kekal mencabar berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19.

“Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kebanyakan negeri dengan hanya lima sektor ekonomi dibenarkan beroperasi manakala aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan, telah menjejaskan momentum pemulihan perniagaan seterusnya pasaran tenaga kerja,” katanya dalam Laporan Tenaga Buruh Malaysia Januari 2021 yang diumumkan pada Isnin.

Mohd Uzir bagaimanapun berkata, pembukaan semula perkhidmatan penting dalam lima sektor utama itu telah membolehkan beberapa kesan ekonomi dan kesihatan awam dapat diseimbangkan dengan penyesuaian terhadap normal baharu.

Sehubungan itu, beliau berkata, kedudukan guna tenaga pada Januari 2021 kekal dalam pemulihan sederhana yang digambarkan melalui peningkatan bilangan tenaga kerja pada bulan tersebut.

Statistik itu yang berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB), juga menunjukkan bilangan penduduk yang bekerja terus meningkat berbanding menganggur, sekali gus menggambarkan peningkatan permintaan tenaga kerja oleh perniagaan.

Tenaga kerja pada Januari 2021 turut meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.02 juta orang berbanding 15.99 juta orang pada Disember 2020.

Menurut Mohd Uzir, kadar penyertaan tenaga kerja pada Januari lalu juga mencatat peningkatan kecil sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.5 peratus berbanding 68.4 peratus pada Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

“Peningkatan bilangan penganggur yang berterusan itu sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan dalam industri berkaitan pelancongan yang merangkumi penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan serta aktiviti rekreasi,” katanya.

Beliau berkata, dari segi sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial serta pendidikan.

Bagaimanapun, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan kekal dalam trend penurunan yang menggambarkan industri ini terjejas secara berterusan akibat pandemik tersebut.

Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan mengekalkan pertumbuhan positif guna tenaga bagi bulan ketiga manakala sektor pembinaan juga mencatatkan peningkatan.

Katanya, guna tenaga dalam sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian terus mencatat trend penurunan sejak tujuh bulan lalu.

“Melihatkan keadaan krisis kesihatan pada awal 2021, pasaran buruh ini dijangka berdepan dengan situasi tidak menentu pada suku pertama tahun ini.

“Bagaimanapun, menerusi usaha (pelaksanaan) fasa pertama program vaksinasi di seluruh negara yang bermula pada 24 Februari lepas, dilihat dapat memberi suntikan positif terhadap keadaan krisis kesihatan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menyokong usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di negara ini, Jabatan Perangkaan telah membuka semula platform bancian dalam taliannya atau e-Census.

Maklumat lanjut mengenainya di portal www.mycensus.gov.my atau menerusi @MyCensus2020. - Bernama