X

Kindly register in order to view this article
!

Kelas karate bukan penyelesaian isu keganasan rumah tangga

Wan Azizah
A
A

PETALING JAYA - Penganjuran kursus seni mempertahankan diri, karate untuk kaum wanita bukan penyelesaian kepada masalah keganasan rumah tangga, kata bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau sebaliknya berkata, isu berkenaan perlu ditangani dengan memperkasakan wanita menerusi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Untuk mempertahankan diri itu betul dalam apa pun. Tapi dalam erti kata untuk menyelesaikan keganasan rumah tangga, itu (kelas karate) bukan penyelesaian. Tak kan kita berlawan pula dalam rumah tangga. Ia lebih daripada itu.

"Suasana kekeluargaan, suasana kasih sayang itu yang telah hilang. Kerana itu kita mahu (penguatkuasaan) undang-undang,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sambutan Hari Wanita Sedunia di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie yang mahu sayap parti itu mengadakan kelas karate secara maya.

Ia dinyatakan semasa menyampaikan ucapan pada perhimpunan agung MCA baru-baru ini bagi meningkatkan keupayaan mempertahankan diri wanita seterusnya mengelak menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Sehubungan itu, Wanita MCA akan bekerjasama dengan Persekutuan Karate Malaysia dan pelbagai pertubuhan Cina untuk mengadakan kelas latihan karate secara percuma secara maya bermula 12 hingga 20 Mac ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!