Bazar Ramadan Jalan TAR: Penjaja setuju bersyarat

Rosli (kanan) menyerahkan memorandum berkaitan isu pemindahan tapak Bazar Ramadan Jalan Masjid India ketika pertemuan wakil-wakil persatuan penjaja dan peniaga bersama Khalid.
Rosli (kanan) menyerahkan memorandum berkaitan isu pemindahan tapak Bazar Ramadan Jalan Masjid India ketika pertemuan wakil-wakil persatuan penjaja dan peniaga bersama Khalid.
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan penutupan laluan sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahmah (TAR) kepada kenderaan kecuali bas, termasuk mempertimbangkan penganjuran bazar Ramadan sepanjang laluan berkenaan dialu-alukan golongan penjaja khususnya terlibat dengan operasi bazar tersebut.

Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia (G3PM), Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pertemuan 12 wakil persatuan peniaga dan penjaja bersama Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad juga telah mencapai persetujuan untuk tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India sebelum ini dipindahkan operasi ke situ.

Menurutnya، bagaimanapun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberi jaminan tiada sebarang khemah tambahan yang dipasang oleh pengusaha premis sepanjang Jalan TAR pada musim penganjuran bazar tersebut.

"Penganjuran bazar Ramadan adalah di atas Jalan TAR jadi tidak mengganggu operasi premis sedia ada. Namun kita tidak mahu mereka juga buka kanopi، buat bazar juga. DBKL kena pastikan perkara ini.

"Pihak persatuan juga meminta kesemua tapak berjumlah 465 petak sedia ada sebelum ini dikekalkan dan mengalu-alukan sekiranya ruang yang mencukupi boleh menambah bilangan petak perniagaan agar lebih ramai penjaja boleh mencari rezeki," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya mahu DBKL meneruskan sistem pendaftaran manual seperti tahun-tahun sebelum ini untuk penganjuran bazar berkenaan.

"Kita tidak setuju dengan sistem atas talian yang mahu dibuat. Kita juga mahu penganjuran bazar-bazar Ramadan setiap parlimen kekal bawah pengurusan persatuan peniaga dan penjaja," katanya.

Terdahulu, Khalid dilaporkan berkata Jalan TAR akan ditutup kepada semua kenderaan persendirian kecuali bas awam dan pelancongan bermula 15 Mac depan.

Artikel Berkaitan:

Penutupan bermula dari Jalan Esfahan berhampiran Sogo hingga ke Jalan Melayu, sepanjang kira-kira satu kilometer itu bertujuan menjadikannya sebagai `Pedestarian Mall.'