PKPD di empat Felda tamat hari ini

PKPD di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran tamat lebih awal daripada jadual asal. - Gambar hiasan
PKPD di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran tamat lebih awal daripada jadual asal. - Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, 2, 7 dan Felda Ulu Jempol di Maran, Pahang ditamatkan pada Isnin, lebih awal dari tarikh yang dijadualkan pada 15 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan sebanyak 471 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif hanya satu kes dilaporkan yang melibatkan lokaliti ini.

"KKM mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenal pasti, disampel dan diasingkan,” katanya dalam satu kenyataan berhubung PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Isnin.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 517 individu ditahan pada Ahad atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan 513 dikompaun, manakala empat direman.

Kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (202), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri pelanggan (95), tidak memakai pelitup muka (66), aktiviti pusat hiburan (64) serta rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (64), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (18), keluar rumah tanpa alasan munasabah (satu) dan lain-lain kesalahan (tujuh).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan manakala empat kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng pada Ahad.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, seramai 983 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa pada Ahad dan kesemuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

"Secara kumulatif, sejak 24 Julai 2020, seramai 140,154 individu telah pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 80 hotel dan 11 Institut Latihan Awam serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
Artikel Berkaitan:


"Daripada jumlah itu, seramai 7,477 individu telah dikuarantin dan 131,774 orang dibenarkan pulang manakala 903 lagi dibawa ke hospital," katanya. - Bernama