Mekanik sanggup habiskan RM15,000 ubah suai motosikal

Zulkefly (duduk) menunjukkan sebuah motosikal yang diubah suai pada sidang akhbar di JSPT Kuala Lumpur, Jalan Tun HS Lee di Kuala Lumpur pada Isnin.
Zulkefly (duduk) menunjukkan sebuah motosikal yang diubah suai pada sidang akhbar di JSPT Kuala Lumpur, Jalan Tun HS Lee di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang mekanik sanggup membelanjakan RM15,000 bagi mengubah suai motosikal jenis Yamaha Y15ZR miliknya untuk memasuki pertandingan pertunjukan motosikal.

Namun, tindakan lelaki berusia 28 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan dalam satu operasi khas ubah suai ekzos yang diadakan di sekitar ibu kota pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pemilik motosikal berkenaan antara 79 individu berusia 18 hingga 35 tahun yang disaman atas kesalahan mengubah suai ekzos.

"Sebanyak 2,495 kenderaan diperiksa dalam operasi khas sejak 1 Mac hingga Ahad. Dalam operasi itu, sebanyak 1,400 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam sidang akhbar di JSPT Kuala Lumpur, Jalan Tun HS Lee di sini pada Isnin.

Zulkefly berkata, sebanyak 40 saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan 90 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di atas kesalahan yang sama.

Sementara itu, katanya, sebanyak 84 kenderaan turut disita sepanjang operasi dijalankan.

"Kenderaan yang ditahan akan diserah semula setelah tindakan menggantikan ekzos yang diubah suai," katanya.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Kaedah 103 dan 90 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) LN 170/1959.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.